Tuesday, December 12, 2017

Baitulmaqdis: Bekas pegawai tentera bidas Hishammuddin isu hantar askar

 | December 11, 2017
Konflik antarabangsa di Baitulmaqdis adalah isu politik dan langkah terbaik menyelesakan kekacauan itu melalui tindakan diplomatik, kata Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji.
arshad-hishamudin 
PETALING JAYA: Seorang bekas pegawai kanan tentera membidas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyeru Malaysia bersiap sedia untuk menghantar askar ke Baitulmaqdis ekoran pengisytiharaan Amerika Syarikat memperakui kota itu sebagai ibu negara Israel.

Bernama melaporkan naib presiden Umno berkata negara harus bersedia hadapi sebarang kemungkinan.
“Sebagai menteri pertahanan, saya yakin kita akan laksanakan sebarang perintah daripada komander tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad Ke-5.

“Ketua Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan askarnya sememangnya bersedia,” kata Hishammuddin lapor Bernama.
Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji bagaimanapun menyifatkan langkah itu “tidak bijak” kerana pertama sekali situasi berbangkit bukan isu ketenteraan.

“Konflik antarabangsa di Baitulmaqdis adalah isu politik. Langkah terbaik adalah membenarkan diplomasi menyelesaikan kekacauan sejarah ini. Jika diplomasi gagal, tindakan berikutnya boleh dalam bentuk kecaman masyarakat antarabangsa.

“Mengisytiharkan secara membuta tuli bahawa kita boleh sediakan pasukan tentera adalah tindakan kurang bijak,” katanya.
Timbalan komander Briged ke-5 tentera darat di Sabah itu turut selanjutnya mempersoalkan kenyataan Hishammuddin tentang “misi yang masih bersifat misteri buat masa ini”.

“Setakat ini, tiada satu kenyataan pun dibuat oleh pimpinan ATM mengenai penghantaran tentera ke Baitulmaqdis, atau sekurang-kurangnya mengesahkan pengumuman oleh menteri pertahanan,” katanya.
Arshad mengambil sikap berhati-hati tentang mengatur gerakkan tentera Malaysia ke luar negara, terutamanya ke Baitulmaqdis yang merupakan zon konflik antara Palestin dan Israel.

“ATM pernah menghantar pasukan tentera ke luar negara tetapi dalam misi yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).
“Berhubung kes Baitulmaqdis, keputusan presiden AS mengiktiraf, sama ada secara langsung atau tidak, bandar yang dipertikaikan sebagai ibu negara Israel adalah bersifat unilateral (sebelah pihak).
“Ia tidak diiktiraf oleh PBB dan oleh itu, Baitulmaqdis kekal sebagai wilayah Palestin secara sah.”

Arshad berkata menteri perlu menjawab beberapa persoalan yang timbul.
“Pasukan tenterea kita akan diletakkan di bawah pemerintahan siapa? Apakah tahap kekuatan yang diperlukan untuk misi seperti itu, dan bagaimana angkatan itu akan distrukturkan?
“Pihak berkuasa manakah yang akan membuat keputusan muktamad untuk mengatur gerakkan pasukan tentera kita dalam misi yang tidak diiktiraf UNSC ini?” soalnya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pihak yang meluluskan akan bertanggungjawab sepenuhnya kerana meletakkan pasukan tentera di tempat bahaya dan nahas yang akan dialami.
Arshad juga menyoal jika kerajaan akan bawa isu ini ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Walau apa sebab sekalipun kerajaan perlu menghantar pasukan tentera kita untuk berkhidmat di zon konflik di medan yang asing buat mereka, ianya harus difikir dan dipertimbangkan secara serius.”

2 comments:

  1. ayo bergabung diajoqq , silakan coba keberuntungan anda disini dan menangkan ratusan juta rupiah,hadiah menantikan
    anda silakan bergabung invite pin bb#58cd292c

    ReplyDelete
  2. ingin wujudkan impian anda , raih kesempatan dan menangkan ratusan juta rupiah hanya di ionqq,silakan invite
    pin bb#58ab14f5

    ReplyDelete