Tuesday, January 16, 2018

"Dah. Puas hati?" - Farid Kamil

"Dah. Puas hati?" - Farid Kamil
(Ubah saiz teks)
"DAH. Puas hati?," sapa pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil kepada media yang merakam wajahnya di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini.
Dia yang memakai kemeja T berwarna kelabu tiba jam 10.40 pagi dalam keadaan bergari diiringi polis dan peguamnya Athari Bahardin.
Pelakon Tombiruo itu kemudiannya di bawa masuk ke bilik reman untuk prosiding.

Terdahulu, isterinya, Diana Danielle tiba di mahkamah seawal jam 9.20 pagi untuk mengikuti prosiding Farid Kamil.
Sehingga hari ini, Farid Kamil direman selama lima hari bermula Jumaat lalu.
Bapa kepada dua anak itu ditahan selepas menampar polis dan menendang dua orang awam di Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.
Dalam pada itu, selepas lima hari bermalam di lokap, Farid Kamil mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah mendatangkan kecederaan terhadap konstabel Muhamad Nizam Jamaluddin dan orang awam, Ashraf Ahmad.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Cawangan Trafik Kota Damansara, jam 1.20 petang, Khamis lalu.

Selain itu, dia turut mengaku tidak bersalah melakukan kekerasan jenayah terhadap anggota polis tersebut dengan niat untuk menghalangnya daripada menjalankan tugas yang sah.

Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap penjawat awam itu sehingga mendatangkan kemarahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh sama.
Majistret Nor Ariffin Hisham, membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Farid Kamil dibebaskan dengan jaminan polis bagi kes narkotik sementara menunggu keputusan ujian saringan daripada Makmal Patalogi Hospital Kuala Lumpur.
Menyusul

No comments:

Post a Comment