Sunday, January 21, 2018

Manifesto HARAPAN Sarawak janji 50% pendapatan cukai, 20% royalti minyak

 Malaysiakini 20/1/18

Dalam Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) Sarawak, pakatan itu berjanji agar negeri itu kekal memegang 50 peratus untuk semua pendapatan cukai yang dikumpul dalam negeri.

Menurut manifesto yang bertajuk 'Tawaran Baru Untuk Sarawak Bahagian Dua' yang dikeluarkan hari ini, negeri itu juga akan menerima 20 peratus royalti minyak dan gas atau nilai yang sama daripada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan Sarawak perlu menggunakan dana ini bagi menanggung tanggungjawab fiskal kerajaan persekutuan dalam pendidikan dan kesihatan,” kata manifesto itu.
HARAPAN juga berjanji menubuhkan syarikat seperti Petronas di negeri itu yang akan dinamakan Sarawak Petrogas, yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Sarawak Petrogas, yang akan diletakkan secara langsung di bawah Dewan Perundangan Sarawak, akan bekerjasama dengan Petronas dalam menguruskan minyak dan sumber gas asli di kawasan sempadan dan perairan Sarawak, jelas manifesto itu lagi.

Hal ini serupa dengan Petroleum Sarawak, syarikat minyak dan gas yang dimulakan oleh kerajaan negeri Sarawak ketika ini, yang bertujuan menjadi rakan kongsi yang sama rata dengan Petronas bagi aktiviti minyak dan gas di negeri itu.

Dengan keputusan memulangkan hak kepada Sarawak dalam pendidikan dan kesihatan, antara lain, negeri itu boleh mempunyai silibus pengajaran sendiri, mengkaji semua dasar kakitangan dan pentadbiran, memperbaiki dan meningkatkan kualiti hospital awam dan melengkapkan hospital dengan pusat pakar jantung.

HARAPAN juga akan menumpukan kepada meningkatkan perkhidmatan bekalan air bersih dan elektrik kepada semua rumah di Sarawak sama ada di pinggir bandar mahupun di pedalaman, selain membina jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman bagi menjana ekonomi negeri itu.

Manifesto itu juga menyatakan agar keutamaan diberikan kepada rakyat Sarawak yang berdaya saing bagi mengisi peluang pekerjaan dalam jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di Sarawak.

Di samping itu, menurut manifesto itu lagi, kemudahan latihan dan institusi sukan akan dibangunkan bagi memanfaatkan potensi atlet Sarawak.
Selain komitmen untuk mengembalikan sarawak kepada status asal dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963, HARAPAN berkata ia juga akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji semua perlbagai perundangan yang menjejaskan hak negeri itu ke atas sumber alamnya.

Perundangan yang dimaksudkan termasuklah Akta Pelantar Benua 1966, Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Wilayah Laut 2012
HARAPAN berkata bahagian ketiga manifesto berkenaan akan menyusul dan dikeluarkan dalam masa akan datang.

No comments:

Post a Comment