Monday, January 22, 2018

PM pilihan PAS ketentuan Allah, kata Hadi

 | January 21, 2018
Presiden PAS berkata, mereka tidak mahu berebut menjadi pemimpin, tetapi mahu Islam memimpin, menyelamatkan negara dan rakyat, itu matlamat utama perjuangan PAS.
hadi-pasTEMERLOH: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu lebih mengutamakan hak rakyat dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya soal siapa yang layak menjadi perdana menteri.

Tuan Ibrahim menegaskan demikian ketika diminta mengulas persoalan yang dibangkitkan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung calon perdana menteri pilihan PAS.

Menurut Tuan Ibrahim, isu berkenaan tidak perlu diperbesarkan kerana rakyat sendiri muak dengan soal perebutan jawatan yang berlaku dalam kalangan pakatan pembangkang termasuk PKR, DAP dan Amanah.

“Allah akan beri kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakinya, kadangkala kita calon orang ini, ia belum tentu akan jadi (pemimpin)…mungkin sampai ajal dan sebagainya.

“Apabila sampai waktu, kita akan lihat…kita mempunyai tokoh yang jelas, jadi tak perlulah perbesarkan isu ini sehingga timbul polemik politik,” katanya selepas Fastaqim 2.3 Himpunan 12,000 Jentera PAS Pahang di Kompleks Al Makmur, Kerdau malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
Selasa lepas, Dr Mahathir mempersoalkan pendirian PAS sama ada menyokong beliau sebagai calon perdana menteri atau Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Dr Mahathir, perkara itu penting untuk dinyatakan kerana ia akan menggambarkan sama ada parti itu boleh menang atau tidak dan sama ada calon mereka akan mendapat sokongan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sebelum itu, Hadi dalam ceramahnya pada himpunan itu turut menyatakan soal siapa yang menjadi ketua atau perdana menteri adalah ketentuan Allah.
“Kita bukan mahu berebut jadi pemimpin…tetapi mahu Islam memimpin, menyelamatkan negara, menyelamatkan umat manusia, ini matlamat utama perjuangan kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas persiapan PRU14, Hashim berkata, semua jentera parti itu sudah bersiap sedia, termasuk soal calon.
“Majlis Syura dah pun menapis nama-nama calon, termasuk soal kelayakannya…saya rasa dah selesailah. Sekarang ini kita pulangkan balik (senarai nama) kepada negeri untuk ditentukan kelayakannya, tetapi calon peringkat Parlimen, Majlis Syura akan putuskan.”

Mengenai persiapan PAS Pahang menghadapi PRU14, Pesuruhjayanya, Rosli Jabar berkata, usaha untuk memastikan rakyat dapat memiliki rumah sendiri adalah antara tawaran dikemukakan parti itu dalam manifesto mereka.

Selain itu, wanita kelahiran Pahang atau bermastautin di sini bagi tempoh tertentu, yang melahirkan anak akan menerima ganjaran dalam bentuk wang tunai atau barangan, manakala anak yang lahir pula akan mendapat sumbangan RM100 dalam bentuk simpanan.

Bagi golongan miskin, PAS Pahang menawarkan pemberian barangan keperluan asas seperti beras, tepung dan gula secara percuma setiap bulan, manakala golongan belia ditawarkan bantuan untuk membangunkan tanah terbiar.

“Kami menyedari golongan muda turut terbeban dengan kos perkahwinan yang semakin meningkat dan PAS Pahang sedia menganjurkan program walimah perdana, iaitu perkahwinan beramai-ramai kepada semua, termasuk kepada bukan Islam,” katanya pada rakaman video sempena program itu.

Sehubungan itu, Rosli yang juga adun Tanjung Lumpur berharap rakyat Pahang akan melakukan gelombang perubahan bagi membuktikan PAS bukan parti terpinggir di Pahang.
FMT

No comments:

Post a Comment