Bekas timbalan menteri itu berkata mengharapkan gabungan pemerintah mengalu-alukan perubahan adalah tidak masuk akal.
PETALING
JAYA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah
mentertawakan cadangan sebuah badan pemikir yang mencadangkan suatu
komitmen reformasi institusi dwipartisan sebelum pilihan raya umum
ke-14.
Saifuddin berkata beliau tidak akan meninggalkan Umno jika Barisan Nasional bersungguh-sungguh mahukan reformasi.
Beliau berkata keputusan untuk meninggalkan BN dibuat selepas
pengkritik 1MDB dihukum tetapi rasa tidak puas hati timbul lebih awal
dari itu, apabila beliau mendapati Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak tidak begitu komited melakukan reformasi.
“Pada suatu ketika, Najib seolah-olah mahukan reformasi, tetapi kemudian dia buat pusingan U dalam isu Akta Hasutan,” katanya.
“Apabila orang-orang atasan yang mempersoalkan isu 1MDB disingkirkan, saya buat keputusan untuk pergi.”
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) baru-baru ini memuji
seruan reformasi institusi, mengambil maklum seruan itu daripada
kerajaan dan pembangkang. Badan itu berkata ahli politik yang membuat
seruan itu boleh menunjukkan keikhlasan dengan menyokong reformasi
secara dwipartisan.
Saifuddin, yang meninggalkan Umno untuk PKR pada 2015 berkata
sokongan lantang untuk perubahan semasa beliau bersama Umno menimbulkan
rasa geram beberapa ahli parti.
“Saya digelar bermuka-muka, dan pernah Zahid dilaporkan berkata
mereka tidak perlukan seorang timbalan menteri seperti saya,” katanya,
merujuk kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Sedangkan saya cuma bercakap tentang perkara yang saya bawa sekarang ini, cuma tanpa bahasa reformasi.
“Saya mungkin bias, tapi dalam tempoh singkat saya bersama Pakatan
Harapan, saya mendengar dan bercakap tentang reformasi lebih daripada
semua tahun-tahun saya bersama Umno.”
Saifuddin dilantik timbalan menteri pendidikan tinggi di penggal
pertama pentadbiran Najib. Beliau juga salah seorang ahli majlis
tertinggi Umno.
Beliau mengkritik cara kerajaan menangani tunjuk perasaan Bersih 2.0
pada 2001, di mana lebih 1,600 penunjuk perasaan ditahan di jalan-jalan
Kuala Lumpur.
Pada awal 2013, beliau mempertahankan seorang pelajar yang dimalukan
oleh seorang ahli panel berkaitan kerajaan di satu forum di Universiti
Utara Malaysia.
“Semasa saya bersama Umno, saya pernah diberi peringatan oleh Kabinet
kerana bercakap tentang hak dan kebebasan pelajar yang berkaitan dengan
usaha saya meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku),”
katanya.
“Hanya apabila Najib bersetuju meminda Seksyen 15 Auku maka Umno dan
pimpinan BN bersetuju pada cadangan itu. Sebelum itu, tiada komen
diberikan tentang kertas yang saya bentangkan pada majlis tertinggi
Umno.”
Saifuddin berkata tidak masuk akal untuk mengharapkan BN akan
mengalu-alukan reformasi institusi selagi politik perkauman kekal
sebagai rangka kerja politik utamanya.
“Lebih buruk apabila sentimen agama dimasukkan,” katanya.
“Tak, anda tak boleh harapkan reformasi daripada BN.”
No comments:
Post a Comment