Wednesday, January 24, 2018

Tiada jalan mudah di Kedah

Pilihan raya
Gambar Hiasan - Foto Bernama
(Ubah saiz teks)
SIAPA bakal menerajui Kerajaan Kedah selepas PRU14 terus menjadi perdebatan pemerhati politik kerana parti-parti utama seperti BN, Pas dan Pakatan Harapan (Harapan) mempunyai potensi menang di negeri itu.

Ada pandangan mengatakan BN kekal mentadbir Kedah kerana perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang selepas Pas meninggalkan PR. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru, kelebihan pasti milik BN.
Begitu juga dengan jangkaan Harapan mampu mengambil alih negeri itu daripada kerajaan sekarang, berdasarkan momentum kebangkitan Harapan dengan kehadiran parti baharu iaitu Bersatu.

Tidak kurang Pas, apabila Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan pihaknya mahu menawan semula Kedah berdasarkan hasrat parti dan keputusan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta dasar kepimpinan parti.

Ketua Pusat Pengajian Asia Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Faisal S Hazis berkata, kemenangan Pas di Kedah pada PRU12 disebabkan beberapa faktor seperti gabungan pakatan pembangkang dalam memastikan hanya wujud pertembungan dua penjuru.

“Ini menjadi faktor kemenangan pembangkang di Kedah dan beberapa negeri lain. Kita tak boleh nafikan pertembungan dua penjuru ini memberi kelebihan kepada pembangkang.

“Satu lagi faktor pada ketika itu adalah kepincangan dalam Umno itu sendiri di mana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu masih berada dalam Umno, sudah mula memulaukan parti berkenaan dan tidak membantu parti tersebut berkempen pada PRU12 sehingga mewujudkan perbalahan dalam jentera parti,” katanya.
Jelasnya, walaupun Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang, mereka masih mempunyai kekuatan tersendiri kerana telah berakar umbi di Kedah sejak sekian lama.

“Kalau kita perhatikan, kerusi-kerusi majoriti Pas di negeri itu sebahagian besarnya diundi oleh pengundi tegar mereka sendiri dan sedikit bantuan daripada ahli parti pembangkang lain yang membawa kemenangan 16 kerusi Dun pada PRU12.
“Bagi PRU14 kali ini, mereka masih lagi mampu mengekalkan beberapa kerusi tanpa bantuan Harapan,” katanya.

Menurutnya, pada 2008, kepincangan yang berlaku dalam Umno tidak membawa kepada perpecahan parti seperti mana yang berlaku ketika ini, di mana ahli parti itu keluar dan menubuhkan parti baharu.
“Bersatu mempunyai sedikit kelebihan di Kedah berbanding negeri-negeri lain kerana adanya Mahathir sebagai Pengerusinya dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berasal dari sana serta mempunyai pengikut tersendiri.

“Bersatu semakin popular di negeri itu dan ada kemungkinan mereka dapat menarik undi daripada BN. Selain itu, bantuan daripada pengundi PKR dan DAP juga mampu memberi saingan sengit kepada BN,” katanya.
Beliau berpandangan, Umno perlu melakukan perubahan drastik bagi mengubah kepimpinan lemah di negeri tersebut seandainya mahu kekal mentadbir Kedah.

“Selepas Mukhriz dilucutkan jawatan Menteri Besar Kedah, banyak suara daripada ahli Umno sendiri yang menolak kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang dikatakan lemah.
“Umno Kedah dilihat semakin goyah selepas Mukhriz dipecat dan membawa bersama ahli-ahli parti itu ke dalam Bersatu. Keadaan ini pastinya meresahkan Umno untuk berdepan PRU akan datang,” katanya.

Faisal berkata, sekiranya pembangkang tidak berpecah dan Pas jadi sebahagian daripada Harapan, peluang mereka untuk menawan Kedah lebih cerah.
“Dengan perpecahan pembangkang sekarang ini, saya fikir BN mempunyai peluang 60 peratus berbanding pembangkang tetapi PRU kali ini akan tetap sengit dan apa sahaja boleh berlaku.
“Begitu juga dengan kerusi-kerusi marginal. Andainya Pas bersama Harapan, saya yakin ia memberi kelebihan kepada pembangkang merampas semula Kedah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, mana-mana parti yang mahu menang di Kedah perlu memenangi hati rakyatnya terlebih dahulu.
“Politik di Kedah unik dan saya melihat keutamaan di Kedah adalah dari sudut sosio ekonomi dan kebajikan rakyatnya.

"Negeri tersebut bukan sebuah negeri urban (kawasan bandar). Proses mendekati rakyat masih bersifat konservatif dan tidak seperti di negeri lain.
“Dalam konteks ini, gabungan pemimpin tempatan dan peringkat negeri berperanan dalam menentukan siapa menang. Siapa jadi calon di sesuatu kawasan juga menentukan parti mana berjaya. Bagi parti-parti utama di kedah, sekiranya mereka mampu mendapatkan sokongan daripada ikon masyarakat, mereka ada peluang besar di Kedah.

Katanya lagi, peranan dan jasa dalam masyarakat memainkan peranan penting dalam pemilihan calon-calon di Kedah.
“Masalah yang berlaku di Kedah ini adalah tokoh utama meninggalkan parti, jika tiada pergerakan keluar dalam kawasan lokaliti, peluang Umno untuk menang adalah besar,” katanya.

Jelasnya, elemen keluarga juga menjadi penentu kepada sokongan calon dalam pilihan raya dan ia tidak seperti di negeri-negeri lain.
“Keluarga itu akan menentukan parti mana mereka perlu sokong dan ini tidak seperti di Kelantan di mana pengundi luar boleh menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan baru atau kekalkan kerajaan sedia ada.

“Pada pengamatan saya, BN mempunyai kelebihan untuk kekal mentadbir dengan syarat, mereka prihatin dengan calon yang nak diletakkan dan tidak ada sabotaj dalam kalangan pemimpin,” katanya.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tiada laluan mudah bagi mana-mana parti di Kedah.

“Kalau diperhatikan tidak ada satu parti diyakini boleh menang. Kalau kita tengok tiga parti kuat iaitu BN, Pakatan Harapan dan Pas mempunyai pengaruh kuat. BN kuat tetapi faktor Mukhriz yang menyertai Bersatu dan bersama Harapan sudah pasti sokongan ahli Umno beralih.
“Pas juga begitu, ada pengaruh kuat tetapi berdepan masalah perpecahan apabila Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan. Tiada jalan mudah bagi semua parti ini,” katanya

No comments:

Post a Comment