Wednesday, January 17, 2018

Tuduhlah saya agar saya boleh saman anda, kata Guan Eng kepada Teng

 | January 17, 2018
Ketua menteri Pulau Pinang berkata, Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow patut mendakwanya, bukannya 'bersembunyi atau lari' dengan tuduh kerajaan negeri.
lim-guan-eng_penang_trowong_Teng-Chang-Yeow_600
GEORGE TOWN: Konflik mengenai projek terowong dasar laut dan lebuh raya mencapai tahap baru dengan Lim Guan Eng mencabar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menyasarkan dakwaan rasuah ke atasnya.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, Teng tidak patut “bersembunyi atau lari” dengan menuduh kerajaan Pulau Pinang, tetapi sepatutnya mendakwa beliau.
Dengan itu, katanya, beliau boleh menyaman Teng di mahkamah kerana menipu dan membuat kenyataan berbaur fitnah.

“(Teng patut) berani mengatakan saya menipu apabila saya kata kerajaan Pulau Pinang belum membayar sesen pun untuk terowong dasar laut dan jalan raya, agar saya boleh membawa Teng ke mahkamah untuk membuktikan siapa yang bercakap benar.

“Jika Teng gagal berbuat demikian, saya boleh faham mengapa Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong enggan menamakan Teng sebagai calon ketua menteri Pulau Pinang untuk BN walaupun beliau adalah pengerusi BN negeri,” katanya hari ini.

Semalam, Teng mempersoalkan kerajaan negeri sama ada ia menipu mengenai fakta projek dasar laut dan jalan raya bernilai RM6.3 bilion, walaupun Guan Eng dan exconya, Lim Hock Seng berulang kali menjelaskannya.

Teng berkata, kos Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek itu patut ditanggung kontraktor, bukan kerajaan Pulau Pinang.
Guan Eng dan Hock Seng sebelum ini berkata, kerajaan negeri belum membuat sebarang bayaran kepada kontraktor untuk EIA, tetapi memberinya tanah bernilai RM208 juta kepada mereka.

Projek itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan 2 “Datuk” daripada syarikat pembinaan yang memenangi tender pada 2013, direman untuk membantu siasatan.
Teng ketika dihubungi FMT berkata, beliay akan memberi maklum balas terhadap kenyataan Guan Eng esok.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan 3 lebuh raya utama, dengan pembinaannya dijadualkan bermula 2023.

Tiga lebuh raya itu adalah Jalan Pesisir Pantai Utara sepanjang 10.53km yang menghubungkan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang, lencongan dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km) dan Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km)

No comments:

Post a Comment