Friday, April 20, 2018

Bekas pegawai polis dipenjara 320 tahun

Yutthachai Thongchart
Yutthachai Thongchart dipenjara 320 tahun selepas terlibat dalam sindiket pelacuran kanak-kanak.
BANGKOK - THAILAND . Seorang bekas pegawai polis berpangkat sarjan mejar di Thailand dijatuhi hukuman 320 tahun penjara selepas disabit bersalah terlibat dalam rangkaian pelacuran kanak-kanak.

Dua lagi tertuduh wanita yang bertindak sebagai orang tengah, masing-masing dijatuhi hukuman penjara lebih 100 tahun.
Sementara itu, lima lagi defendan dijatuhi hukuman penjara tujuh hingga 41 tahun penjara.

Lapor media tempatan, Yutthachai Thongchart turut terbabit dengan aktiviti pemerdagangan manusia.
Yutthachai pernah bertugas sebagai pegawai kanan di Balai Polis Ban Nam Phing Din di daerah Muang.

Kesemua defendan adalah anggota sindiket jenayah yang berkomplot untuk merekrut pelacur bawah umur untuk orang awam dan pegawai tempatan.
Menurut mahkamah, jenayah terbabit berlaku dari 1 Februari hingga 31 Disember 2014 di wilayah Mae Hong Son.
Sindiket itu juga menculik seorang gadis berusia 14 tahun dan memaksanya menjadi pelacur.

Seorang lagi mangsa ialah remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga merupakan anak bekas seorang pegawai polis tempatan.
Dalam pada itu, laporan daripada pekerja sosial tempatan menyebut bahawa kanak-kanak dan remaja yang dipaksa melacur, melakukan hubungan seks dengan lelaki kira-kira 10 kali seminggu.

Bagi setiap sesi, mereka dibayar 1,000 Bhat (kira-kira RM124).
Pada awalnya, Gabenor Mae Hong Son, Suebsak Iamwichan dikatakan terlibat dalam kes berkenaan dan digantung tugas.

Namun tidak lama selepas itu polis mengeluarkan namanya daripada penyiasatan dan dia kembali menjalankan tugasnya sebagai Gabenor. - Bangkok Post

1 comment:

  1. kena paham sistem hukuman di thailand, biasanya setiap tahun hari ulangtahun keputeraan raja, raja akan memberi pengampuna atau pengurangan hukuman, sebagai contoh raja akan memberi pengampunan 50 tahun atau 100 tahun pengampunan pada setiap kali hari ulang tahun, sebab itu orang disabit kesalahan membunuh sebagai contoh di hukum penjara 400 tahun akan keluar dari penjara tak sampai 10 tahun dipenjara, orang yang menulis artikel ni harap paham sistem hukuman dithailand

    ReplyDelete