Wednesday, April 18, 2018

Harapan Selangor capai sepakat

18/4/18

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Pakatan Harapan Selangor telah mencapai kata sepakat memuktamadkan pengagihan kerusi Dun.
Dalam satu kenyataan bersama, Harapan Selangor menzahirkan keyakinan bahawa perpaduan pimpinan dan anggota Harapan negeri itu akan melonjakkan sokongan rakyat untuk mengekalkan pentadbiran Harapan di negeri berkenaan.

“Harapan Selangor akan memberi fokus sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya dan memantapkan jentera Harapan di seluruh negeri Selangor serta meletakkan calon-calon yang berwibawa, berintegriti dan komited untuk memberi khidmat dan menabur bakti kepada negeri dan rakyat,” jelas Pengerusi Harapan Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Jelas mereka, Harapan Selangor yakin rakyat Selangor akan menggembeleng tenaga dan memberi sokongan yang padu demi membangun bangsa dan memakmur negeri.

Pada PRU13 lalu, gabungan parti-parti pembangkang PKR, DAP dan Pas mengekalkan kuasa di Selangor setelah memenangi 44 daripada 56 kerusi Dun Selangor, manakala BN pula memenangi 12 kerusi Dun.

Bilangan kerusi Dun yang dimenangi oleh BN pula berkurang menjadi 12 berbanding 20 kerusi yang dimenangi pada 2008.
Selangor jatuh ke tangan pakatan parti-parti pembangkang pada 2008 di kala Malaysia dilanda oleh apa yang disebut sebagai ‘tsunami politik’, yang turut menyebabkan kerajaan persekutuan yang dikuasai BN, kehilangan kuasa majoriti dua pertiga di Parlimen pada 2008.
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment