Saturday, April 28, 2018

Mahathir kesal calon HARAPAN silap di DUN Rantau

   
PRU14 | Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kesilapan calon telah memberikan kemenangan percuma kepada Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau.

"Semuanya berjalan dengan baik tetapi saya kesal Mohd Hassan menang tanpa bertanding sebab kesilapan yang dilakukan calon kami," katanya ketika ditemui pemberita di Langkawi, hari ini.

Beliau mengulas kegagalan calon PKR S Streram membawa pas calon yang menyebabkannya tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon untuk mengemukakan kertas pencalonan.

Malah kedua-dua penyokong dan pencadangnya juga dilarang masuk kerana tiada pas perakuan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub kemudian mengisyiharkan Mohd Hassan yang juga menteri besar sementara Negeri Sembilan menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu berkata tiada sebab untuk SPR membatalkan kertas pencalonan Tian Chua di kerusi Parlimen Batu.
"Saya dengar Tian Chua hilang kelayakan walaupun tiada sebab mengapa beliau tidak layak," katanya.

Pegawai pengurus pilihan raya Anwar Mohd Zain menolak pencalonan Tian Chua berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac lalu yang mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis, walaupun mengurangkan hukuman denda kepada RM2,000.

Namun ia bertentangan dengan pegawai pengurus pilihan raya pada PRU 2013 yang membenarkan Tian Chua bertanding walaupun ketika itu beliau disabitkan bersalah untuk satu kes mahkamah lain dan juga dikenakan denda RM2,000.
Artikel 48(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang hilang kelayakan sebagai anggota parlimen atau untuk bertanding jika dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000.

Tian Chua yang menjadi anggota parlimen Batu sejak 2008 dijangka membuat laporan polis terhadap SPR berhubung perkara itu hari ini.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment