Friday, April 27, 2018

Parti mana dapat manfaat

26/4/18
bendera
Perang bendera mewarnai jalan raya utama bandaraya Alor Setar.
(Ubah saiz teks)
ALOR SETAR - Terdapat dua teori apabila memperkatakan tentang pertandingan tiga penjuru.

Yang pertama, perpecahan pembangkang sehingga menyebabkan Pas keluar daripada pakatan itu dikatakan memecahkan undi pembangkang, seterusnya memberi kelebihan kepada BN. Undi pembangkang kini berpecah kepada Pas dan Pakatan Harapan (Harapan).

Yang kedua, kemunculan Bersatu yang juga parti serpihan BN, di mana sebahagian besar merupakan bekas ahli Umno. Ini juga menunjukkan berlaku pecah undi Melayu, di mana undi kepada BN sebelum ini berpecah kepada Bersatu.
Bermakna bukan sahaja pembangkang terkesan, parti kerajaan turut berdepan risiko apabila berlakunya tiga penjuru.

Ada juga yang meramalkan pembangkang beroleh manfaat daripada perpecahan dalaman Umno itu, namun jangan dilupa kepada penyokong tegar Pas yang masih setia pada perjuangan parti itu, selain mempunyai keahlian yang ramai.
Ini menyebabkan PRU13 antara PRU paling sengit kerana melibatkan parti baharu, iaitu serpihan Umno (Bersatu) dan parti serpihan Pas (Amanah).

Pada 9 Mei ini akan menjadi penentu parti manakah pilihan rakyat, berdasarkan prestasi calon dan parti, manifesto serta kabinet bayangan yang dipertaruhkan.
Kedah merupakan ‘lubuk emas’ kepada parti bertanding kerana memiliki jumlah pengundi Melayu yang tinggi. Namun dikatakan Harapan miliki kelebihan di bandar manakala BN ada kelebihan di kawasan luar bandar.

Biarpun dikatakan tiada kesan besar dari aspek persempadanan semula di Kedah kerana hanya melibatkan pertambahan pengundi di beberapa kawasan, antaranya Parlimen Sungai Petani, Merbok, Alor Setar, Pokok Sena dan Kuala Kedah, namun beberapa kawasan dijangka memberi manfaat kepada BN dan sebahagian kepada Harapan dalam pertandingan tiga penjuru.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kemenangan juga bergantung kepada calon dan jumlah pengundi luar termasuk pengundi muda di sesuatu kawasan.
“Pas mungkin berdepan kesukaran dan hanya bergantung kepada pengundi tegar sahaja. Diramalkan parti itu akan kalah hampir di kesemua kawasan ditandingi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pertandingan tiga penjuru tidak menjamin kemenangan BN kerana selain faktor kepartian, faktor personaliti juga memainkan peranan besar dalam memberikan undi.

Tsunami hijau kedua di Kedah?

Ada yang mengandaikan PRU14 hanya berkisar kepada pertarungan antara Harapan dan Pas, ini kerana rakyat dikatakan bakal menolak BN rentetan daripada kenaikan kos sara hidup dan kontroversi negara kebelakangan ini.
Tidak mustahil Kedah yang pernah diterajui Pas (2008-2013) dan merekodkan pentadbiran cemerlang kembali memilih parti pak lebai, yang kali ini mempertaruhkan 70 peratus muka baharu dan bukan lagi sekadar dibarisi calon ulama.

Adakah tsunami hijau kali kedua bakal melanda negeri ini dan melakar kejutan akibat daripada tsunami Melayu, yang menolak calon BN mahupun calon Harapan?

Peluang BN untuk menang di Kedah juga bergantung calon yang diketengahkan parti, yang kini dibarisi sebahagian besar muka baharu. Pengguguran calon lama yang kurang memainkan peranan di kawasan masing-masing sedikit sebanyak membantu memenangkan BN.

Ini kerana rakyat muak dengan janji-janji manis yang tidak tertunai, selain mahukan pembaharuan pendekatan wakil rakyat baharu.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, melihat kepada situasi politik semasa, Pas dan Harapan antara parti pilihan rakyat berbanding BN.

“Kemerosotan kualiti calon boleh menang boleh jadi penyebab BN hadapi laluan sukar kekalkan kerajaan di Kedah. Proses transformasi parti perlu dilakukan, namun sehingga kini BN Kedah tiada pemimpin yang berketokohan mengikut keperluan rakyat dan perubahan zaman,” katanya.
Menurutnya, hanya Pas dilihat mendahului mana-mana parti di Kedah dalam mendapatkan tempat untuk membentuk kerajaan negeri.

“Potensi calon Pas dilihat lebih mantap berbanding Harapan yang membariskan beberapa nama dikenali, dijangkakan BN tidak mampu ketengahkan calon disukai ramai. Kemungkinan akan berlaku kerajaan campuran antara Harapan dan Pas di Kedah, melihat kepada situasi di lapangan masyarakat,” katanya.
Md Shukri berkata, Pas Kedah lebih berpotensi menawan hati rakyat, dan besar kemungkinan BN hanya muncul sebagai parti pencelah antara Harapan dan Pas.

“Pertembungan ini lebih kepada Pas dan Harapan, BN dilihat makin tidak mesra rakyat dan jauh ketinggalan dari aspek penerimaan masyarakat ‘bebas parti’. Bermakna Pas dan Harapan sahaja sebenarnya yang bertarung, BN hanya mampu tawan beberapa kawasan tanpa boleh mendirikan kerajaan negeri,” katanya.

Kerusi panas milik siapa!

Kerusi paling panas di Kedah pastinya Parlimen Langkawi, menyaksikan penyandangnya, Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN) berentap dengan Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ada dakwaan Mahathir mampu menang mudah, namun jangan diperlekeh kemampuan Nawawi yang sememangnya dekat di hati penduduk Langkawi.

Parlimen Jerlun tidak kurang panasnya, apabila penyandang, Datuk Othman Aziz bertemu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Keduanya pula bakal merebut undi dengan calon Pas yang tidak kurang hebatnya, bekas Exco kerajaan negeri, Abd Ghani Ahmad. Ketokohan ketiga-tiga calon ini terserlah, yang pastinya beri saingan sengit.

Di Parlimen Kubang Pasu, calon otai BN, Datuk Seri Mohd Johari Baharom dijangka mampu pertahankan kubu kuat miliknya itu, walaupun terpaksa bersaing undi dengan calon Harapan, Datuk Amiruddin Hamzah, yang mengekalkan rekod cemerlang sejak bertanding di Dun Anak Bukit.

Parlimen Pokok Sena turut mencuri tumpuan apabila Datuk Mahfuz Omar (Harapan) tekad mempertahankan kerusi disandang, yang bakal dicabar legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din (Pas).

Dijangkakan, kerusi disandang otai BN kekal milik parti itu, manakala pemimpin dikenali dari Harapan juga dijangka menang mudah. Pas yang mempertaruhkan ramai muka baharu selepas meninggalkan pakatan pembangkang, perlu akur dengan eksperimen parti itu kerana tiada calon ‘wow’ yang ditonjolkan.

No comments:

Post a Comment