Thursday, April 26, 2018

Penyokong Ka Chuan dari Tg Malim 'serbu' Putrajaya

 

  PRU14 | Ratusan penduduk Tanjung Malim mengadakan bantahan di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini bagi menggesa Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mencalonkan Datuk Ong Ka Chuan sebagai calon di kawasan mereka.

Choo Chee Ming, Naib Presiden MCA cabang Bidor ketika ditemui pemberita berkata Ong sangat dikenali oleh penduduk Tanjung Malim dari semua bangsa dan mereka sangat puas hati dengan prestasinya.
"Kami mahu dia dicalonkan di kawasan kami. Jika dia tidak dicalonkan di situ, kami akan undi pembangkang," kata Choo yang mendakwa pengundi juga akan merosakkan undi mereka jika MCA terus bertegas menggugurkan Ong.

BN sebelum ini mengumumkan Pengerusi MCA Perak Mah Hang Soon akan menggantikan Ong di Tanjung Malim bagi berdepan calon PKR Chang Lih Kang dan calon PAS Mohd Tarmizi Abd Rahman.
Menurut Choo, keputusan menggugurkan Ong sebagai calon adalah tidak masuk akan dan dia menggesa Liow untuk mempertimbangkan semula keputusan itu.

Kira-kira 300 hadir bantahan itu hari ini termasuk 15 dari kalangan orang asli. Mereka mengangkat sepanduk dan melaungkan slogan "Datuk Ong Ka Chuan".
"Apa yang kami mahu mudah. Kami mahu calon yang boleh menang," kata Pengerusi MIC bahagian Tanah Mas G Kasarja yang menambah bahawa Ong melakukan tugasnya dengan baik.

Dia bagaimanapun menyatakan Mah mungkin akan menang.
"Bagaimanapun, Ong melakukan tugasnya dengan cemerlang. Apabila kami minta (pertolongan) sebelah pagi, kami akan terima jawapannya pada malam itu. Apabila kami minta tolong sebelah malam, esok pagi dia akan datang," katanya.
Ahli Umno dari Slim River Ahmad Abdul Karim mendakwa dia hadir hari ini sebagai mewakili masyarakat orang asli yang menyokong Ong.

"Kami mahu Ong Ka Chuan menjadi wakil kami pada 2018. Kami mahu buat aduan pada perdana menteri sementara Najib," katanya yang bagaimanapun mengaku dia bukan orang asli.
Wanita suku Semai, Anim, ketika dihampiri memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak tahu tujuan bantahan berkenaan atau siapa individu bernama Ong Ka Chuan.

Katanya, dia tidak pernah ke Putrajaya sebelum ini jadi dia sangat gembira apabila ada pihak tertentu yang menjemputnya semalam.

Sementara itu, warga emas 68 tahun yang merupakan ahli MCA Chong Ah Peng memberitahu Malaysiakini bahawa dia akan mengundi calon PKR Chang Lih Kang jika MCA bertegas untuk mencalonkan Mah di Tanjung Malim.

"Kita tidak puas hari dengan calon baru ini. Kita rasa Ong Ka Chuan calon yang baik," katanya yang memaklumkan dia menetap di Kampung Baru Behrang Ulu.

No comments:

Post a Comment