(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR – Gara-gara aduan tidak dilayan oleh Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL),tiga wanita bertindak sendiri menurunkan 133 bendera
parti yang di pasang di kawasan perumahan Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Kesemua wanita terbabit nekad selepas tidak berpuas hati kerana
bendera itu dipasang sebelum 28 April hari penamaan calon PRU14.
Walau bagaimanapun mereka kemudiannya tampil ke Balai Polis TTDI membawa kesemua bendera yang telah dipotong.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tindakan
ketiga-tiga wanita itu pada mulanya disedari seorang lelaki yang
memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, pasukan polis dari Jabatan
Siasatan Jenayah Zon TTDI telah memeriksa dua buah kereta yang dinaiki
tiga wanita terbabit dan merampas 133 helai kain rentang sebuah parti,
gunting, playar, pemotong wayar, lampu suluh, plastik sampah dan ubat
nyamuk.
“Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati tiga wanita terbabit
merupakan penduduk kawasan TTDI dan tidak melibatkan diri dalam
mana-mana parti politik.
“Mereka bertindak atas dasar prihatin sebagai penduduk di kawasan
berkenaan kerana mendakwa aduan yang mereka buat kepada PBT berkaitan
pemasangan bendera parti sebelum 28 April 2018 tidak diambil sebarang
tindakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Mazlan meminta orang ramai supaya melaporkan isu ini kepada PBT dan tidak mengambil tindakan sendiri..
Tambah beliau, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat.
No comments:
Post a Comment