Sunday, April 29, 2018

SPR tunggu siasatan polis

Mohd Hashim Abdullah
Mohd Hashim Abdullah
(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kes calon yang dihalang masuk ke pusat penamaan calon di Dun Rantau semalam untuk siasatan polis.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya tidak dapat memberi kenyataan sehingga laporan lengkap diperolehi.

“SPR mengambil maklum terhadap bantahan pihak terbabit yang tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon untuk menyerahkan kertas pencalonan mereka semasa hari penamaan calon di bahagian pilihan raya Dun Rantau dan Parlimen Rembau, Negeri Sembilan ekoran tidak mempunyai Pas SPR.

“Difahamkan ada pihak telah membuat laporan polis berhubung kes ini. Berikutan itu, buat masa ini adalah tidak wajar bagi SPR untuk memberikan sebarang komen terhadap kes ini sehingga laporan lengkap diperolehi dan siasatan pihak polis dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, calon Pakatan Harapan, Dr S Streram tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon kerana gagal menunjukkan pas calon yang dikeluarkan SPR.

Susulan itu, Streram tidak dapat menyerahkan borang pencalonan dan menyebabkan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi Dun Rantau.

Berikutan kes tersebut, pelbagai pihak menyatakan bantahan dan mendakwa pas calon bukan syarat untuk calon memasuki pusat penamaan calon.

Bagaimanapun, Mohd Hashim berkata, terpulang kepada pihak terbabit untuk menggunakan saluran perundangan yang dibenarkan berkaitan kes ini.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan perkara ini kerana ia sedang dalam siasatan pihak polis.

No comments:

Post a Comment