Tuesday, April 24, 2018

'Tetap kawan Mukhriz, tapi terpaksa lawan'

Malaysiakini 24/4/18
PRU14 | Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz mengakui terpaksa berhadapan dengan bekas ketua bahagiannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang kini merupakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) akan datang.

Othman yang juga orang kuat Mukhriz sebelum dipecat daripada jawatan Menteri Besar Kedah berkata hubungannya dengan Mukhriz masih akrab.
“Dalam politik kita tak sokong individu, kita sokong parti. Ketika dia bersama dengan kita ketika itu, dia ketua saya, saya kena ikut dia tapi hari ini dia telah ambil keputusan bersama pembangkang, maka saya tak sokong dia.

“Dalam perjuangan ini kita perlukan parti yang mendukung usaha kita untuk sampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kita tak ada masalah peribadi kerana beliau bersama dengan pembangkang maka terpaksa bertembung (dalam PRU).
“Kita baik, kita masih bertegur sapa, kita tak ada masalah, secara peribadi tak ada masalah. Kerana PRU ini kita terpaksa bertanding untuk kita tegakkan perjuangan parti kita,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Pada PRU12, Mukhriz menang kerusi parlimen Jerlun dengan menewaskan calon PAS Idris Ahmad dengan majoriti 2,205 undi.

Muhkriz memperoleh 19,424 undi manakala Idris pula mendapat 17,219 undi.
Othman pula memenangi kerusi Parlimen Jerlun pada PRU13 dengan memperolehi 24,161 undi mengalahkan calon PAS yang mendapat sebanyak 20,891 undi. Othman menang dengan majoriti 3,270 undi.
Pada PRU13, Mukhriz bertanding kerusi DUN Ayer Hitam dan menang kerusi tersebut seterusnya dilantik sebagai menteri besar Kedah sebelum melepaskan jawatan pada awal 2016 ekoran kemelut politik yang melanda negeri jelapang padi itu.

Sementara itu Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan I (kerajaan sementara) berkata beliau akan bertanding secara profesional dan yakin BN mampu mempertahankan kerusi tersebut pada PRU kali ini.

“Kita serahkan kepada orang Jerlun apa yang kita buat sepanjang lima tahun lalu. Saya ingat rakyat matang. Kita berjuang berdasarkan track record, saya yakin rakyat akan pilih BN,” katanya.

No comments:

Post a Comment