SKUDAI - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yakin PRU14 adalah masa yang terbaik kepada Pakatan Harapan (Harapan) menjatuhkan BN.
“Saya tidak fikir kita akan mempunyai peluang seperti itu lagi selepas ini kerana faktor usia Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri) yang kini telah bersama Harapan.

“Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dalam tahanan. Malaysia sekarang berada dalam bahaya.
“Itu sebab Tun Dr Mahathir turut bersatu untuk menurunkan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mahu menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Membina Harapan Malaysia di Restoran Maedo di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, hari ini.
Guan Eng berkata, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan Harapan dapat membentuk sebuah kerajaan selepas menang PRU14.

“Mesti ada 80 peratus orang Melayu keluar mengundi dan bangkit menentang Umno dan BN. Orang Melayu juga telah menunjukkan peningkatan sokongan kepada Harapan. Malah Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah bersama kita.

“Malah, Muhyiddin sendiri memberitahu saya ketika beliau bersama Umno, beliau tidak mendapat sokongan seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata, faktor ketiga adalah, Harapan perlu memecah deposit tetap BN di Sabah dan Sarawak.
“Jadi, kita mahukan kerjasama semua. Masa ini (PRU14) adalah waktu untuk kita kalahkan BN,” katanya.