Wednesday, May 30, 2018

Kes UiTM: Lebih 120,000 membantah

Sinar Harian
Kes UiTM: Lebih 120,000 membantah
Semakan pada 9.45 malam ini, petisyen itu sudah mendapat 121,796.
(Ubah saiz teks) 
 
SHAH ALAM - Kurang 12 jam petisyen dalam talian bagi membantah tuntutan supaya kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum itu diwujudkan, petisyen tersebut sudah mendapat lebih 120,000 tandatangan.

Semakan pada 9.45 malam ini, petisyen itu sudah mendapat 121,796 dan ia hanya memerlukan kurang 30,000 untuk mencapai sasaran 150,000 tandatangan dalam talian. Berkemungkinan sasaran itu akan tercapai malam ini.

Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUiTM), Datuk Mohd Zaini Hassan melalui Facebook miliknya ternyata gembira dengan jumlah tandatangan yang dapat dikumpul.

Siang tadi, Mohd Zaini menjelaskan petisyen berkenaan adalah untuk memastikan UiTM tidak terus diganggu gugat oleh mana-mana pihak dan mencadangkan supaya institusi itu diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu.

“PAUiTM dengan ini berdiri teguh dan secara sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada semua kaum berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen dan hak keistimewaan orang melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya PAUiTM mencadangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan terus mencari jalan bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan ulung Bumiputera itu,” menurut petisyen itu.

Petisyen tersebut turut menyatakan kebimbangan kenyataan oleh Hindraf 2.0 itu seperti ‘menuang minyak ke api’ akan mencetuskan kemarahan umat Melayu dan Bumiputera di Malaysia dan kenyataan seperti itu perlu dihentikan oleh semua pihak.

Petisyen boleh ditandatangani dalam talian menerusi Bantah Pelonggaran Kemasukan Ke UITM Untuk Bukan Bumiputera
Semalam, Tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf 2.0) menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembangunan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.

No comments:

Post a Comment