(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Ketua Umum Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Anwar
Ibrahim boleh menggunakan platform Majlis Presiden Harapan sebagai
medium pemantau bagi kerajaan baharu itu.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
menamakan Anwar sebagai barisan Top 6 Majlis Presiden Harapan pada 17
Mei lalu.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya
Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, keanggotaan Anwar dalam barisan utama
Majlis Presiden memudahkan beliau membuat kritikan dan saranan terhadap
kepimpinan hari ini secara dalaman.
Menurutnya, sebagai Top 6 dalam Majlis Presiden Harapan, Anwar akan
sentiasa bertemu dan berbincang bersama Mahathir; Presiden PKR, Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng;
Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
“Anwar juga boleh menggunakan platform forum-forum rasmi yang
dihadirinya untuk mengutarakan pandangan dan nasihat kepada kerajaan
Harapan,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Marthada mengingatkan Anwar supaya tidak mengkritik
pimpinan dan kerajaan secara terbuka dalam tempoh terdekat ini.
“Paling penting dalam tempoh terdekat ini, beliau harus mengkritik
secara dalaman sahaja supaya tidak timbul persepsi, kononnya pentadbiran
kerajaan baharu ini tidak mendapat sokongan penuh daripada pemimpin
Harapan sendiri.
“Nak kritik boleh, tapi memandangkan beliau bakal perdana menteri,
dibimbangi kerajaan hari ini akan dianggap tidak kuat. Biasalah setiap
kritikan akan menimbulkan persepsi kurang baik,” katanya kepada Sinar
Harian, di sini, semalam.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory
Hussain berkata, Anwar juga boleh berfungsi sebagai penganalisis
politik, bagaimanapun statusnya lebih tinggi kerana beliau bekas
timbalan perdana menteri dan bakal perdana menteri.
“Jadi, impak pemantauan dan kritikan Anwar lebih berkesan kerana status dipegangnya,” katanya
No comments:
Post a Comment