Tuesday, May 29, 2018

Polis rekod keterangan anak perempuan Najib

 
   
Polis Daerah Dang Wangi merekodkan keterangan anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan rampasan terhadap barangan di kondominium Pavilion Residences pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah mengesahkan pihaknya hadir untuk merakamkan keterangan anak Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu, lapor Kosmo!

Akhbar itu juga melaporkan pihak polis mengambil masa hampir satu jam untuk merakamkan keterangan Nooryana Najwa atau dikenali sebagai Gina.
Memetik sumber, polis hadir selepas wanita itu membuat laporan kelmarin mengatakan tidak puas hati dengan tindakan polis memasuki dan merampas barang peribadi yang didakwa dihadiahkan individu tertentu pada hari perkahwinannya.

“Laporan itu diterima Polis Daerah Sentul malam semalam dan polis Dang Wangi hadir untuk merekodkan keterangan berikutan kawasan kediaman wanita itu terletak di bawah daerah terbabit,” kata sumber tersebut.

Sementara itu Bernama melaporkan empat pegawai dan anggota polis menaiki sebuah kereta Proton Preve memasuki kediaman peribadi Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, di Jalan Langgak Duta pada 11 pagi tadi.

Pada 18 Mei lepas, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di kondominium mewah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Najib, sebagai sebahagian daripada siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga unit kediaman di kondominium di Jalan Raja Chulan itu.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment