Wednesday, May 23, 2018

Profesor minat tanam strawberi di rumah


Sinar
Tanam strawberi di rumah
Profesor Aziz menunjukkan strawberi JB Sweet yang besar dan manis.
(Ubah saiz teks)
KODIANG - Bermula daripada minatnya yang gemar bertani, seorang bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) kini memiliki lebih 1,000 pokok strawberi pelbagai jenis.

Pemilik D’Seyra Laman Fig & Strawberi, Prof Aziz Romli,59 berkata, minat menanam strawberi ini muncul setahun lalu setelah melihat pokok milik rakannya ketika menghantar pesanan pokok tin.

Katanya, sebagai permulaan dia cuba menanam dua anak pokok strawberi jenis Japan Sweet Charlie yang dibeli dengan harga RM10 sepokok ketika itu.
“Kemudiannya, saya tengok pokok tu hidup, berbuah dan cepat membiak, dalam jangka masa tiga empat bulan, saya boleh dapat sekitar 50 pokok dah,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Kubang Menerong, Padang Sera, di sini, semalam.

Menurutnya, proses menanam dan menjaga pokok ini tidak sesukar yang dijangka.
“Bagi anak pokok yang kecil kita akan bagi baja untuk tumbesaran di samping rawatan untuk mengelakkan musuh-musuh tanaman dan jangkitan kulat.
“Manakala untuk galakkan buah, saya akan bagi baja buah yang mana dalam tempoh dua minggu dia akan berbunga dan mula mengeluarkan buah.

Strawberi tanah rendah lebih mudah dijaga dan tahan lasak.
“Alhamdulillah, setakat ini saya sudah memiliki lebih 1,000 pokok strawberi dari lima jenis seperti Royal 80, Albyon, JB Sweet, dan Snow Rabbit, serta Japan Sweet Charlie.

“Bagaimanapun saya lebih fokus kepada JB Sweet sekarang ini sebab buah dia lebih besar dan manis,” katanya yang turut dibantu oleh isterinya, Nurul Huda Abdul Halim,40.

Terima kunjungan peminat strawberi
Menurutnya, setakat ini beliau menerima banyak kunjungan daripada peminat tanaman strawberi dari pelbagai latar belakang.
“Ada juga yang datang dari luar Kedah, selalunya pengunjung ni mereka akan beli pokok besar, sebab lebih cepat biak.

“Dalam satu induk dah boleh hasil dua hingga empat pokok anak benih hanya dalam tempoh sebulan,” katanya.
 Aziz berkata, beliau juga menggalakkan mana-mana individu yang berminat menyertai Program Usahawan Strawberi yang dikendalikannya.

“Program ini hanya memerlukan modal sebanyak RM1,000 dengan 20 pokok strawberi induk.
“Jangan risau kerana saya akan beri bimbingan penuh termasuk dari segi penanaman, penjagaan, pembajaan, rawatan sehingga mendapatkan hasil serta teknik pemasaran.

“Penanaman pokok ini tak perlu kawasan yang luas pun, jadi kita boleh jana pendapatan sehingga RM1,000 sebulan hanya dengan tanaman di tepi rumah sahaja,” katanya.
Selain strawberi Aziz turut aktif menanam buah tin, menternak kelulut, lobster dan juga ikan puyu di rumahnya.

No comments:

Post a Comment