Tuesday, May 1, 2018

Rafidah: Rumah kita dah rosak, perlu tukar kontraktor baru

 
   
Bekas menteri kanan, Tan Sri Rafidah Aziz memberi perumpamaan mudah untuk difahami rakyat mengenai mengapa kerajaan perlu ditukar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Memberikan analogi Malaysia seperti sebuah rumah besar untuk melindungi rakyat berbilang kaum, Rafidah berkata keadaan kediaman itu kini sudah semakin rosak kerana dilanda "makhluk perosak".

Menurut Rafidah rakyat kini mesti menilai prestasi BN dalam 10 tahun lalu untuk memutuskan sama ada "kontrak menguruskan rumah" itu perlu disambung atau menyerahkannya kepada "pengurus" lain untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Sekarang ada pihak lain yang menawarkan untuk berkhidmat sebagai kontraktor untuk mengurus rumah kita, Malaysia.

"Ia adalah parti yang di pimpin oleh Tun Mahathir (Mohamad), seorang pemimpin yang telah terbukti kemampuannya, menjaga dan mengurus rumah kita dengan sebaik mungkin untuk sekian lama," kata Rafidah dalam satu kenyataan.

Bekas pemimpin Umno yang pernah menerima julukan wanita besi itu berkata antara sebab mengapa "kontrak" kepada BN tidak wajar disambung adalah kerana rakyat kini menanggung beban sara hidup dan harga barang semakin meningkat.
Katanya, beban ekonomi diletakkan dibahu rakyat melalui cukai barangan dan perkhidmatan (GST), manakala hutang negara juga semakin meruncing.

"Keyakinan pelabur-pelabur asing semakin terhakis, kecuali syarikat-syarikat dari China yang mempunyai pelbagai agenda, termasuk hubungkait dengan soal jual beli tanah (dan) berhubung 1MDB yang banyak dipersoalkan," kata Rafidah.

Selain itu katanya berlaku hakisan integriti terhadap institusi penting negara seperti polis, peguam negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kehakiman.

"Institusi-institusi ini adalah asas dan tulang belakang negara dan saluran untuk rakyat mendapat keadilan. Tetapi kita mula melihat keputusan-keputusan yang dibuat semakin tidak rasional, tidak objektif dan tidak profesional.
"Keputusan mereka acap kali meragukan. Yang amat ketara ialah semua angkara berkaitan skandal 1MDB," katanya.

'Jangan tunggu rumah runtuh'
Rafidah berkata, rakyat Malaysia sebagai 'tuan rumah' berasa malu dengan keadaan yang berlaku dan tidak wajar menyambung "kontrak" berkenaan kepada 'Najib & Co'.

"Keadaan rumah kita semakin rosak dan dilanda pelbagai makhluk perosak. Kita perlu usaha cari kontraktor pengurusan baru untuk mereka memperbaikinya sekarang," kata beliau.
Menurut Rafidah, rakyat juga tidak perlu menjadi "sentimental" untuk memberhentikan "kontrak" lama.

"Jangan tunggu sampai runtuh rumah kita yang telah berdiri kukuh tersergam megah untuk sekian lama, tetapi sekarang telah mula mengalami kerosakan ketara.
"Rakyat Malaysia wajar kali ini menukar kontrak pengurusan negara tercinta kita, Malaysia. Kita berikan amanah itu kepada Pakatan Harapan," kata Rafidah.

No comments:

Post a Comment