Friday, May 4, 2018

Rais: Saya lihat lautan perubahan pengundi

 
   
PRU14 | Bekas menteri Tan Sri Rais Yatim berkata kehadiran orang ramai dalam program Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menampilkan Tun Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran perubahan.

"Saya boleh lihat lautan perubahan dalam sikap pengundi," katanya kepada Malaysiakini merujuk kehadiran orang ramai dalam siri program HARAPAN
Menekankan bahawa beliau berpegang pada undnag-undang yang adil dan saksama, veteran Umno itu juga berkata pemimpin rasuah tidak seharusnya memimpin negara.

"Saya juga menentang pemimpin-pemimpin angkuh yang merasa dirinya besar," katanya.
Rais, seperti juga bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz, dikecam oleh pemimpin BN kerana sering membuat kritikan terhadap perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak.

Rafidah pergi lebih jauh apabila menggesa pengundi menamatkan pemerintahan BN dan menyerahkan kepada HARAPAN untuk mentadbir negara.
Rafidah juga dijangka akan berkongsi pentas dengan Dr Mahathir di ceramah HARAPAN di Melaka malam ini.

Sementara itu, Rais berkata pemerhatiannya terhadap situasi politik semasa menyebabkan pemimpin Umno memberi amaran tindakan akan diambil terhadapnya.
"Mereka masih lagi kata tak ada masalah dengan 1MDB dan berbilion wang yang hilang. Pemimpin Umno tak perlu bising dan tanya bila Rais Yatim akan dipecat.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan yang memerintah tapi politik adalah tentang kepentingan rakyat. Jika anda tidak bertanggungjawab, mempunyai prinsip dan budaya yang tinggi, orang lain akan ganti tempat anda," katanya.

Rais juga berkongsi pendapat sama tentang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikecam pembangkang dan badan pendesak pembaharuan pilihan raya berhubung daftar pemilih, persempadanan semula dan pembatalan pencalonan calon pembangkang.

"SPR perlu menukar pendekatan mereka, persepsi yang mereka menggunakan kuasa sewenangnya tidak disenangi rakyat," katanya

No comments:

Post a Comment