Friday, June 15, 2018

PH hanya perlu 30% undi Melayu untuk bentuk kerajaan, PKR jawab laporan

FMT | June 15, 2018
Namun Saifuddin Nasution berkata ulasan pilihan raya perlu melihat keseluruhan sokongan kepada PH, bukan mengikut kaum sahaja.
Saifuddin berkata PH menggunakan formula sokongan semua kaum untuk menang.
PETALING JAYA: PKR berkata Pakatan Harapan hanya perlukan paling kurang 30% undi Melayu, di samping peratusan tertentu undi kaum-kaum lain, untuk membentuk kerajaan persekutuan pada pilihan raya 9 Mei dan sasaran “formula kemenangan” itu tercapai.

Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun tidak cenderung untuk melihat kerajaan PH cuma mendapat sokongan minoriti orang Melayu, kerana PH menggunakan formula sokongan semua kaum untuk menang.
“Kita kena tengok apa formula kemenangan untuk membolehkan BN dikalahkan. Itu sudut pandang yang lebih tepat,” kata Saifuddin kepada FMT.

Beliau berkata apa yang penting akhirnya ialah kemenangan pilihan raya berbanding siapa mewakili peratusan kaum terbesar.
“Kalau tidak pihak yang lebih majoriti Melayu akan mengatakan Umno parti yang mewakili 46% Melayu. Tapi apa maksudnya 46%? Dia tak pegang kuasa politik, dia tak boleh bentuk kerajaan,” kata Saifuddin.

Beliau mengulas laporan akhbar Singapura, Straits Times (ST) yang melaporkan hanya 25-30% pengundi Melayu memilih PH berbanding kira-kira 95% pengundi Cina dan 70-75% pengundi India pada pilihan raya baru-baru ini, memetik kajian Merdeka Centre.

Kajian itu mendapati kira-kira 35-40% pengundi Melayu memilih Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno dan 30-33% menyokong PAS.
Ini bermakna minimum 65% atau maksimum 73% orang Melayu bersama pembangkang nasional sekarang.

Namun, Saifuddin berkata pengulas politik tidak wajar membuat ulasan berdasarkan peratusan undi Melayu sahaja.
“Dalam konteks Malaysia, kita tak tengok sokongan kepada PH mengikut etnik Melayu, Cina atau India untuk buat ulasan,” katanya.

“Kita tengok secara keseluruhan iaitu untuk PH mengalahkan BN, PH kena mendapatkan paling kurang 30% undi Melayu, 80% undi Cina dan 60% undi India.
“Lebih baik kita kata konteks yang patut dilihat apakah formula kemenangan telah ditemui. Ternyata kami dah jumpa.”

Ditanya anggaran peratusan sokongan orang Melayu kepada PH dalam analisisnya, Saifuddin berkata: “Antara 30-35%”.
“Bila dah jadi kerajaan, kita berleluasa untuk melaksanakan dasar-dasar yang boleh menarik sokongan semua kaum dan waktu itu ujian yang berikutnya adalah PRU15. Waktu itu kami menjadi penyandang, kami adalah kerajaan yang menunggu,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan sokongan orang Melayu kepada partinya, PKR, tidak pernah melebihi 38% dalam pilihan raya 2008 dan 2013.
Ini berbeza dengan PAS yang sentiasa melebihi 40% dan Umno 50%.

“Maksudnya PAS tetap menikmati kelebihan sokongan Melayu berbanding PKR semasa kami berkawan rapat. Namun kami masih tak boleh bentuk kerajaan pada 2008 dan 2013.

“Manakala sekarang kalau pun undi Melayu itu 30-35% tapi hari ini kami dapat membentuk kerajaan.”

No comments:

Post a Comment