Tuesday, July 3, 2018

Rafizi doakan Najib diberi keadilan, jaga maruah bekas PM

 | July 3, 2018
Adam Lokman pula percaya Najib akan dikenakan pendakwaan yang tiada kaitan dengan pertuduhan PH sebelum pilihan raya.
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendoakan Datuk Seri Najib Razak dan keluarga diberi keadilan sebaik-baiknya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas perdana menteri itu petang tadi.

“Saya antara orang yg banyak kritik beliau. Tetapi saya berdoa beliau dilayan baik sebagai seorang bekas perdana menteri, dijaga maruah dan air muka. Itulah perjuangan reformasi,” katanya di Twitter.
Pasukan petugas khas 1MDB mengesahkan Najib ditangkap di kediamanya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang tadi dalam siasatan ke atas bekas syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Najib akan bermalam di lokap ibu pejabat SPRM Putrajaya dan akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur esok pagi.

Pasukan petugas khas itu terdiri daripada bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Mohd Shukri Abdull; dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas I, Datuk Abdul Hamid Bador.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Adam percaya penahanan Najib akan membawa kepada pendakwaan yang tidak mempunyai kaitan dengan tuduhan yang dibuat Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum 9 Mei.

“Selama hari ini, walaupun sudah menang kerajaan, mereka tak boleh dakwa Najib atas pertuduhan yang telah mereka buat dalam isu RM2.6 bilion dan 1MDB,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin mengingatkan Najib tidak bersalah selagi belum dibuktikan di mahakamah, sementara bekas menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata benarkan proses undang-undang dijalankan terhadap Najib sebelum menghakiminya.
“Tunggu dan lihat,” katanya.

Sementara itu, bekas pengarah bahagian komunikasi strategik di Jabatan Hal Ehwal Khas, Tun Faisal Ismail Aziz berkata Barisan Nasional tidak akan mempertahankan pemimpin yang terbukti bersalah, berbeza dengan sikap penyokong Pakatan Harapan dalam kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita perlu proses itu betul dan telus dan dibawa ke mahkamah. Beri peluang pada Najib bela diri. Kenyataan dibuat SPRM sebelum ini, oleh polis, semuanya seolah-olah dibicarakan dalam mahkamah persepsi sebelum dia dibicarakan di mahkamah sebenar. Ia tidak adil pada orang yang disiasat,” katanya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata parti Islam tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang terbukti bersalah melakukan rasuah, termasuk jika ia dilakukan ahli parti.

Namun PAS akan berpegang kepada prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Tangkapan, siasatan dan pertuduhan di mahkamah ini sebahagian daripada proses perundangan. Jadi kita harap pihak yang mendakwa pun bertindak mengikut undang-undang dan pihak yang didakwa juga mempunyai hak dari segi undang-undang,” katanya.
FMT

No comments:

Post a Comment