Wednesday, July 4, 2018

SPRM siasat pegawai kanan Finas

 
   
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), yang disyaki digunakan dalam projek 1Malaysia Negaraku, namun projek itu tidak dilaksanakan.

Menurut sumber SPRM, seorang pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bergelar Datuk disyaki terlibat dalam penyelewengan dana dianggar bernilai hampir RM25 juta, yang diluluskan untuk pelaksanaan projek-projek di bawah projek 1Malaysia Negaraku itu.

Sumber itu berkata terdapat kira-kira 10 projek di bawah projek berkenaan dan siasatan awal mendapati pegawai kanan itu terlibat dalam hampir semua projek itu.

Bernama difahamkan bahawa pegawai kanan terbabit diarah menguruskan perolehan dan pembayaran di Finas berkaitan projek 1Malaysia Negaraku dan mempunyai kuasa untuk menandatangani surat tawaran kepada syarikat-syarikat yang dilantik Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Pegawai kanan tersebut juga dikatakan bersekongkol dengan syarikat-syarikat terbabit dengan meluluskan semua pembayaran bagi projek yang tidak dilaksanakan,” kata sumber itu ketika ditemui Bernama.
Sumber itu berkata pegawai kanan terbabit diarahkan menggunakan dana SKMM itu bagi melaksanakan projek berkenaan.

Pada hari ini, SPRM telah pergi ke kesemua syarikat yang memperoleh projek-projek tersebut untuk mengambil dokumen bagi membantu siasatan, katanya.
SPRM juga telah merakam percakapan empat individu termasuk Ketua Pengarah Finas dan pegawai-pegawai daripada SKMM bagi membantu siasatan kes itu.
Menurut sumber itu lagi, SPRM mengenal pasti lebih 70 individu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan siasatan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.
- Bernama

No comments:

Post a Comment