SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk negara meratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) memandangkan Malaysia sudah mempunyai Perlembagaan sendiri.

Pengarah Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, Perlembagaan Persekutuan cukup untuk melindungi semua kaum tanpa diskriminasi.
Malah, katanya, Perlembagaan ini dijalankan dan diterima oleh semua rakyat tanpa ada sebarang bantahan.

“Konvensyen itu bukan satu perlembagaan, ia hanya satu persidangan dan keputusan yang mencadangkan beberapa perkara iaitu diskriminasi kaum. Tetapi jika negara itu ada perlembagaan, sudah dijalankan dan diterima rakyat selama ini, maka tiada sebab untuk ratifikasi ICERD.

“ICERD bukan satu undang-undang , kita punya Perlembagaan negara lebih tinggi kedudukannya. Tidak ada mana-mana konvensyen antarabangsa yang boleh mengambil alih peranan Perlembagaan negara,” katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mustahil laksana ICERD?]
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang 61 tahun Perlembagaan negara dijalankan tidak ada masalah kaum yang timbul.
“Tidak ada keadilan di dunia ini, tetapi di Malaysia kita dapat keadilan penuh. Mana ada negara luar yang boleh kekalkan pendidikan jenis kebangsaan?

“Setiap kaum diberi kebebasan menjalankan agama dan sekolah mereka. Tiada siapa dipaksa masuk Islam walaupun Islam adalah agama Perseketuan,” katanya.
Sehubungan itu, Ramlah berharap, semua pihak menjaga perpaduan negara dan tidak menimbulkan sebarang cadangan yang boleh menimbulkan keresahan antara kaum.

“Saya harap pihak berkuasa boleh buat sesuatu supaya perkara ini tidak berpanjangan. Cara terbaik ialah kita jangan laksanakan ICERD.
“Kita kena jaga perpaduan negara. Perkara yang boleh timbulkan pergaduhan jangan dibenarkan berlaku,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tak faham perlembagaan jadi punca bantahan ICERD: Saifuddin]