Wednesday, December 19, 2018

Editor Sarawak Report nafi tuduh Sultanah T'ganu terlibat rasuah

Hafiz Yatim  |  
   
Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, dan dua lagi defendan dalam kes saman fitnah oleh Sultanah Nur Zahirah, mendakwa mereka tidak menuduh Sultanah Terengganu itu melakukan rasuah atau mempunyai hubungan dengan Low Taek Jho, ahli perniagaan yang menjadi individu utama dalam skandal 1MDB.

Dalam kenyataan pembelaan, mereka juga mendakwa tiada sebarang imputasi (tuduhan) bahawa Sultanah mempengaruhi pentadbiran negeri Terengganu.
"Salah satu imputasi yang boleh diperolehi dalam konteks ini adalah Jho Low menggunakan hubungannya dengan keluarga diraja Terengganu untuk mendapatkan satu peranan penasihat dalam penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).

"Imputasi itu tidak mampu membawa sebarang makna fitnah (kepadanya)," kata mereka.
Rewcastle-Brown, penerbit Chong Ton Sin (Gerakbudaya Enterprise) dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd dinamakan sebagai defendan dalam saman fitnah Sultanah Nur Zahirah berjumlah RM300 juta, susulan penerbitan buku The Sarawak Report - The inside story of 1MDB.

Defendan kemudian mendakwa sesiapa membaca keseluruhan buku 438 halaman itu akan mendapati keluarga diraja Terengganu sangat prihatin sekitar isu TIA dan membuat keputusan sesuai dan patut dipuji apabila melepaskan negerinya daripada apa-apa penglibatan dalam TIA.

Sultanah Nazirah dalam kenyataan tuntutan yang difailkan bulan lalu berkata Rewcastle-Brown menerbitkan buku yang mengandungi pernyataan fitnah.
Sultanah Nazirah mendakwa baginda tidak pernah terlibat dalam pentadbiran negeri dan umum mengetahui 1MDB bermula daripada TIA.

Baginda juga menafikan terlibat dalam penubuhan TIA dan tidak pernah memberi kelulusan kepada Jho Low untuk menubuhkannya.
Baginda juga menafikan mengenali Jho Low atau bersetuju menyokongnya sebagai penasihat TIA.
Pengurusan kes hari ini dibuat di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Zaidi Ibrahim.
 Malaysiakini

No comments:

Post a Comment