Sunday, December 16, 2018

Pengerusi DAP turut khuatir tentang kemasukan wakil rakyat Umno

Tan Kok Wai berkata bertukar parti selepas dilantik 
adalah pengkhianatan.
SHAH ALAM: Pengerusi DAP Tan Kok Wai turut khuatir dengan
 spekulasi mengatakan wakil rakyat Umno akan melompat ke Pakatan 
Harapan melalui PPBM, tetapi untuk menghalangnya dengan undang-undang anti-lompat bukan mudah.

Tan berkata terdapat banyak pandangan terhadap undang-undang seperti itu.
“Kami pernah timbulkan idea itu sebelum ini kerana kami sentiasa tegaskan penghijrahan seperti itu suatu bentuk ‘pengkhianatan’ kepada rakyat.
“Tetapi semua orang ada pandangan berbeza mengenai ahli politik yang bertukar parti. Sebarang perbincangan mengenai undang-undang anti-lompat perlukan konsensus semua 4 parti PH,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen Umno mengesahkan keluar parti sejak Rabu, memarakkan spekulasi mengenai penghijrahan yang akan menyebabkan parti itu lumpuh sebelum akhir tahun.
Semalam, 6 Ahli Parlimen Umno, iaitu Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd Fasiah Fakeh (Sabak Bernam) mengumumkan keluar parti.

Ini berlaku 2 hari selepas puluhan Ahli Parlimen, Adun, senator dan ketua-ketua bahagian di Sabah meninggalkan Umno.
Umno yang menang 54 kerusi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu kini tinggal 37 kerusi.

Ramai pemimpin Pakatan Harapan mahukan undang-undang anti-lompat semasa menjadi pembangkang.

Pada 1992, Mahkamah Persekutuan menolak enakmen yang diluluskan oleh kerajaan Kelantan bagi megnhalang wakil rakyat bertukar parti, mengatakan ia mencabuli kebebasan berpersatuan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tan hari ini berkata DAP tidak akan menghalang mana-mana orang daripada menyertai PH.

Tetapi dia berkata parti itu mahu pintu ditutup bagi menghalang mereka yang berdepan pertuduhan jenayah atau sedang disiasat.
“Tak kisahlah siapa mereka sebelum ini, seorang menteri kanan atau apa sahaja. Kami tidak mahu orang seperti itu,” katanya, mengulangi kebimbangan pemimpin DAP lain.

No comments:

Post a Comment