JOHOR BAHRU - Kenaikan elaun kritikal bagi pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang dipertimbangkan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraidah Kamaruddin berkata, perlunya agensi keselamatan itu memperoleh insentif selayaknya berikutan tugas mereka yang berisiko tinggi.

"Elaun ini ada dimohon daripada JBPM sebaik sahaja saya memulakan tugas, tetapi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan penjelasan bahawa elaun ini sudah pun termasuk dalam gaji mereka (bomba).

"Jadi sekarang pihak kami berfikir sudah tiba masanya untuk pertimbangkan untuk menaikkan elaun ini. Ia kerana kerja bomba ini adalah kerja merbahaya dan kerja tidak kira dalam skop apa pun mereka akan lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melakukan lawatan kerja di Kompleks Kuarters Bomba Johor, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis

Dalam perkembangan sama, Zuraida memaklumkan di seluruh negara hanya terdapat kira-kira 15,000 pegawai dan anggota JBPM.
Katanya, jumlah itu juga termasuk sukarelawan dan bomba bantuan yang mana tenaga kerja bagi agensi berkenaan masih belum mencukupi.

"Kita di seluruh negara kekurangan kira-kira 3,000 anggota, ini perkara yang harus dipandang serius kerana agensi ini memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian masyarakat.
"Jadi langkah proaktif akan diambil, kami akan minta untuk JBPM lakukan rekrut mengambil orang-orang muda," katanya.
Sinar Harian