Selepas kes saman fitnah Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report ditarik semula untuk penyelesaian luar mahkamah, isu rakaman audio yang didakwa milik Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dibangkitkan semula.
Rakaman
suara itu sebelum ini dikaitkan dalam perbicaraan kes saman fitnah yang
berlangsung di London kerana didakwa mengandungi pengakuan berhubung
penyaluran wang oleh Umno kepada PAS, seperti dakwaan yang dibuat dalam
laporan Sarawak Report.
Beberapa hari selepas media
melaporkan kes saman fitnah itu tidak akan diteruskan, dua pengguna
Facebook tampil mengaku menjadi "saksi hidup" berhubung rakaman audio
itu.
Pengguna Facebook bernama Dr Muhammad Atiullah Othman
dalam satu perkongsian hari ini mendakwa "menjadi saksi" ketika Nik
Abduh membuat "pengakuan menerima suapan".
Dalam kenyataannya bertajuk "Lebih 40 saksi hidup terhadap pengakuan YB Nik Mohamad Abduh menerima duit Umno", Muhammad Atiullah menyifatkan kejadian itu sebagai "peristiwa hitam".
"Bulan Oktober 2016 adalah paling hitam dalam hidup saya. Buat pertama kali menjadi saksi hidup pengakuan menerima suapan.
"Saya sebagai penjawat awam, tentu kenal bahawa apa yang disebut oleh Nik Mohamad Abduh adalah rasuah, bukan hadiah.
"Semua penjawat awam telah diberi pendedahan perbezaan antara hadiah dan rasuah sebagai syarat pengesahan jawatan.
"Hari
kejadian, saya betul-betul di hadapan Nik Abduh. Tiada seorang pun
depan saya. Telunjuk Nik Abduh yang marah terhadap Ustaz Zaharuddin
Muhammad yang membantah ‘ambil duit Umno’, secara fizikalnya menuding
kepada saya," katanya.
Menurut
Muhammad Atiullah, Nik Abduh "melenting tak tentu pasal" ketika
Zaharuddin - yang dipercayai merujuk kepada menantu Abdul Hadi - cuba
berhujah di hadapan dua pemimpin PAS lain iaitu Nasrudin Hassan dan Dr
Mohd Khairuddin Aman Razali.
"Tiada seorang pun di hadapan saya.
Tiada kepala yang menghalang saya dari memandang Nik Abduh. Di belakang
saya pula adalah Ustaz Hazmi Dibok.
"Saya turut memerhati di
sekeliling dan cuba mengenali satu persatu orang yang hadir. Jumlah
mereka yang patut jadi saksi mencecah ataupun lebih empat puluh (40)
orang.
"Selepas hari kejadian, saya sangat kecewa dengan
pemimpin-pemimpin tertinggi dalam PAS," katanya dan menambah kecewa
dengan pemimpin PAS.
Setakat berita ini ditulis, kenyataan
Muhammad Atiullah di Facebooknya itu yang sudah dikongsi 440 kali oleh
pengguna Facebook lain.
'Sudah buat laporan'
Sementara
itu, pengguna Facebook Muhammad Hanafi Sulaiman turut tampil mendakwa
menjadi saksi ketika Nik Abduh membuat "pengakuan" dalam rakaman audio
berkenaan.
"Sekali lagi saya sebutkan, Nik Abduh mengaku ambil duit Umno. Pengakuan pada Oktober 2016, di Puchong. Audio itu benar.
"Bersama beliau seorang Ahli Parlimen PAS, Adun PAS di sebuah negeri, bekas Ahli Parlimen juga ada. Ramai kata suruh report lah apa lah.
"Report
dah berapa helai (diserah) pada PAS Pusat, kenapa tak panggil? Korang
pergi tanya orang atas pula, kenapa tak panggil? Kita tengok apa
tindakan PAS Pusat selepas ni pula," katanya.
Pada 27 Feb tahun lalu, Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan menggesa pemimpin PAS tampil mengesahkan kesahihan rakaman audio yang didakwa sebagai 'bukti' penyaluran wang oleh Umno kepada parti itu.
Susulan itu, Nik Abduh tampil membuat penafian terhadap dakwaan bahawa suara dalam rakaman audio itu miliknya.
Pimpinan
PAS pusat turut gesaan agar dakwaan berhubung rakaman audio itu
disiasat dan sebaliknya menegaskan penafian Nik Abduh sudah cukup.
Bagaimanapun,
ketika perbicaraan kes saman fitnah itu masih berjalan, peguam Abdul
Hadi tidak mencabar kesahihan rakaman audio itu.
Mengulas perkara itu pada Jun 2018, Sarawak Report
menyatakan bahawa peguam Abdul Hadi berkata Nik Abduh dan pemimpin PAS
lain yang didakwa hadir ketika rakaman audio itu dibuat, merupakan
antara individu yang akan dipanggil sebagai saksi perbicaraan.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan pengguna Facebook berkenaan.
Namun, Malaysiakini sudah menghubungi pimpinan PAS yang disebut namanya dalam dakwaan Muhammad Atiullah, dan sedang menunggu jawapan balas
No comments:
Post a Comment