Sunday, February 10, 2019

Polis tahan lelaki muat naik kenyataan perkauman, hina agama

Bernama  |10 Feb 2019
   
Polis menahan seorang lelaki kerana memuat naik kenyataan berbaur perkauman dan maki hamun dalam laman sosial Facebook dengan menggunakan akaun palsu, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. A Anbalagan berkata lelaki berumur 43 tahun itu ditahan di Bukit Mertajam kira-kira pukul 7.15 malam susulan laporan polis dibuat seorang pengurus sebuah kilang di Bayan Baru, dekat George Town.
"Polis menerima laporan daripada lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai pengurus sebuah kilang itu pada hari Khamis memaklumkan gambarnya digunakan oleh satu akaun Facebook memuat naik status-status berbaur perkauman, memaki hamun dan menghina agama Islam.

"Lelaki itu mengesyaki perkara itu dilakukan oleh bekas pekerjanya kerana sebelum ini pengurus berkenaan pernah membuat laporan berhubung perkara yang sama dan suspek mengaku tidak mahu mengulangi perbuatan tersebut lagi," katanya di George Town hari ini.

Katanya pengurus itu percaya lelaki berkenaan masih melakukan perkara sama untuk memburukkan nama mangsa kerana dia tidak berpuas hati dengan pengurus tersebut.

Anbalagan berkata polis merampas telefon bimbit digunakan suspek untuk memuat naik status-status berkenaan dan dia mengaku turut memuat naik gambar serta nombor telefon pengurus berkenaan.
Katanya tindakan suspek menyalahgunakan media sosial dan menggunakan agama atau sentimen perkauman seperti itu boleh membangkitkan kemarahan sesuatu pihak atau kaum serta mengundang ancaman kepada individu tersebut.

"Tindakan suspek juga boleh mencetuskan insiden perkauman dan saya berharap pengguna media sosial tidak mudah percaya pada sesuatu yang ditularkan tanpa usul periksa," katanya.

Katanya lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
- Bernama

No comments:

Post a Comment