Saturday, March 16, 2019

Menteri: Ada ahli politik mainkan sentimen perkauman

Malaysiakini 16/03/2019
   
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata negara hari ini sedang menghadapi cabaran isu perkauman yang dimainkan oleh banyak pihak termasuk kalangan ahli politik.

Menurutnya, hal itu dapat dilihat apabila ada ahli politik yang seperti tidak dapat menerima kenyataan bahawa negara sedang dipimpin oleh kerajaan baru dengan memainkan sentimen berunsur perkauman.
"Sekarang saya lihat ramai pemimpin politik turut mempermainkan isu-isu perkauman yang tidak sihat. 

"Kalau kita lihat di negara maju, selepas selesai pilihan raya, semua ahli politik akan kurangkan politicking (permainan politik). Mereka dan kesemua rakyat serta ahli politik akan kerjasama menjayakan negara tersebut. 

"Tapi negara kita masih tiada kematangan politik dalam kalangan ahli politik untuk menerima negara kita sekarang mempunyai kepimpinan baru dan kepimpinan baru ini harus diberikan peluang untuk buktikan apa yang mereka boleh buat dalam masa lima tahun ini," katanya. 

Senator itu berkata demikian dalam ucapan Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk 2019 di Dewan Brunsfield, Jalan Wisma Putra di Kuala Lumpur hari ini. 

Waythamoorthy berkata satu lagi cabaran dalam kalangan rakyat Malaysia ialah menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam media sosial, dengan akhir-akhir ini banyak isu perkauman dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya tindakan itu dilakukan oleh pelbagai kaum. 

"Saya menyeru, tidak kisahlah anda menyokong parti mana, apa fahaman politik anda, tapi yang penting untuk difahami, sokong kerajaan untuk laksanakan program perpaduan, pembangunan dan lain-lain yang memberi manfaat kepada negara kita. 

"Sekarang kita lihat ada sesetengah pihak yang menggunakan teknologi baru - iaitu media sosial - untuk mempromosikan agenda negatif yang menimbulkan ketegangan antara rakyat berbilang kaum. 

"Kita boleh tangani sesuatu yang negatif dengan sesuatu yang positif. Masalahnya, dalam dunia ini sekarang berita baik jarang keluar berita tak baik menular begitu sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment