Sunday, March 17, 2019

Sultan Johor murka dilibatkan dalam fitnah sisa kimia

Malaysiakini 17/03/2019
   
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap pihak tertentu yang menyebarkan fitnah kononnya baginda terlibat dalam perniagaan kilang yang menyebabkan berlakunya pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang.

Susulan itu, baginda menerusi catitan terbaru dalam akaun Facebook rasminya hari ini mengingatkan pihak berkenaan supaya jangan cuba mengalih perhatian rakyat atas kelemahan pihak yang sepatutnya menjalankan tugas mereka.
Baginda sebaliknya menggesa mereka menumpukan kepada usaha menyelesaikan isu itu secara tuntas. 

"Sudah sampai kepada pengetahuan saya bahawa ada pihak tertentu yang cuba menyebarkan fitnah bahawa saya terlibat dalam perniagaan kilang yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya berhenti mempolitikkan isu ini.
"Sila bawa bukti yang sahih jika benar saya terlibat dalam perniagaan kilang itu kerana saya tidak pernah gentar dan tunduk pada fitnah yang memburukkan Institusi Diraja Johor," titahnya.

Pembuangan sisa bahan kimia ke Sungai Kim Kim mencetuskan pencemaran dan menyebabkan lebih 4,000 penduduk dirawat berikutan mengalami pelbagai simptom termasuk mual, pening, loya, muntah dan sebagainya akibat terdedah kepada tindak balas toksik itu. 

Kejadian juga mengakibatkan semua 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup demi keselamatan pelajar, murid, kakitangan sekolah dan guru-guru.
Mengulas lanjut, Sultan Johor bertitah baginda akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa insiden sisa kimia itu serta kerja-kerja pembersihan yang dilakukan pihak berkuasa.
- Bernama

2 comments:

  1. alah...sebelum ni byk jer sisa kilang masuk sungai mengalir kelaut...di penang...perak..kedah..selangor..pahang ..melaka..johor...boleh cek kebnykan sungai....cuma ianya tak meruap jadi gas merbahaya...

    ReplyDelete
  2. Tak cukup yang ada dalam negara...import pula dari luar atas alan nak proses jadi sisa baik. Yang sedihnya sultan yg tak tahu menahu pun dilibat pula oleh pihak2 tak bertanggungjawab ni.

    ReplyDelete