Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) mendakwa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menipu apabila mendakwa tidak dimaklumkan berhubung isu status kenegaraan 1,758 anak bekas penghuni institusi jagaannya.

Presidennya Muhammad Khairul Hafiz Abdullah berkata, kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JKM Noraini Mohd Hashim berhubung perkara itu kelmarin bertujuan untuk memanipulasikan fakta.

Sebaliknya, Muhammad Khairul (bawah) berkata, beliau sebelum ini telah berjumpa sendiri dengan Noraini pada 4 Jun lalu di Putrajaya.

NONE
"Saya dah pergi ke JKM dan beri dia (Noraini) 20 nama. Dia kata akan bantu. Kalau saya bagi dia semua seribu nama, dia boleh selesaikan semua ke?

"Cik (wartawan) pun ada masa saya pergi ke JKM kan? Semua media boleh jadi saksi. Dan masa perbincangan itu, saya dengan pembantu saya dan Noraini bersama pembantu Cik Noraini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rabu lalu, Bernama melaporkan, Noraini berkata, pihaknya tidak menerima maklumat mengenai dakwaan Perbak dan tidak boleh menyiasatnya jika senarai nama berkaitan tidak diserahkan.

Menurut Muhammad Khairul lagi, semasa pertemuannya dengan Noraini minggu lalu, beliau diarahkan supaya "tutup mulut" tentang perbincangan itu.

"Dia suruh saya tutup mulut dan nak bagi bantuan 1Azam dan bantuan bulanan. Dia yang suruh datang sebab nak bincang.

"Saya takkan kembali ke sana (pejabat JKM). Kerana bagi saya dia cuba nak memperbodohkan dan mempermainkan dengan saya," katanya sambil menambahkan akan membuat satu lagi pendedahan berkaitan pada Isnin depan.

Sebelum ini, Perbak mendedahkan seramai 1,758 individu di bawah persatuannya yang keluar daripada JKM tidak mendapat status warganegara.

Sehubungan itu, Muhammad Khairul mengancam untuk ''berperang'' dengan JKM sekiranya tiada tindakan setelah menyerahkan 20 nama kepada Noraini.