(Oleh Norutul Ilham)
PETALING JAYA 27 MAC: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar
memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan
4,637 daftar pemilih yang pincang dan diragui di Parlimennya.
Permohonan itu dibuat semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguamnya, Edmund Bon.
Dalam permohonan itu, empat pihak dinamakan sebagai responden.
Mereka adalah Ketua Pendaftar Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR), Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kerajaan
Malaysia.
Menurut Naib Presiden KEADILAN itu, permohonan tersebut kerana SPR
melalui Ketua Pendaftar Pilihan Raya gagal dan enggan melaksanakan
kuasanya di bawah Peraturan 25(2)(g) yang membolehkan beliau membatalkan
nama-nama daripada Rang Daftar Pemilih Induk sekiranya tidak layak
untuk dikekalkan.
Kegagalan SPR bagi membersihkan nama daftar pemilih itu dikategorikan kepada tiga kesalahan.
Ia melibatkan nama pengundi yang meninggal dunia masih terdapat dalam
senarai daftar pemilih, jumlah pengundi yang ramai dengan alamat tidak
lengkap serta nama pengundi yang tidak tinggal di Parlimen Lembah
Pantai.
Edmund
yang hadir pada sidang media bersama Nurul Izzah di Ibu Pejabat
KEADILAN hari ini memberitahu, terdapat kepincangan yang jelas dalam
daftar pemilih Lembah Pantai.
“Terdapat 4,637 pengundi dengan alamat tidak lengkap, 133 pengundi
bukan penduduk Lembah Pantai, dan tiga pengundi yang meninggal dunia
semuanya berjumlah 4,773 nama-nama yang diragui, atau tujuh peratus
daripada 71,000 pengundi didaftarkan sebagai pemilih Lembah Pantai yang
diwartakan pada suku ketiga 2012.
“Di bawah Seksyen 25 (2) (g) Pilihan Raya (Peraturan Pemilih) 2002,
Ketua Pendaftar boleh membuat perubahan kepada daftar pemilih. Jadi
bagaimana Ketua Pendaftar boleh membenarkan orang-orang ini,” katanya.
Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen kedua yang memohon kebenaran semakan kehakiman selepas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
Bagaimanapun, semakan itu ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan
memberi alasan mahkamah terikat dengan Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958
yang menyebut daftar pemilih yang sudah diwartakan tidak boleh disemak
kembali.
Selain itu, mahkamah juga tidak boleh memaksa SPR untuk memberikan
respon kepada perkara yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen, kerana tiada
peruntukan yang membenarkannya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menjangkakan 2,000 tambahan
pengundi akan didaftarkan dalam daftar pemilih Lembah Pantai bagi suku
keempat 2012, menjadikannya 73,000 pengundi.
“Pada 2008, kami mempunyai pengundi didaftarkan 56,000, tapi kini
71,000 dan menjangkakanpenambahan 2,000 menjadikannya 73,000 pengundi,”
katanya. – NS
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?
No comments:
Post a Comment