Sunday, October 12, 2014

Bajet 2015: Mengulangi isi lama

ABDUL HADI AWANG | .
1. Saya mendengar dan menekuni pembentangan Bajet 2015 oleh Menteri Kewangan Pertama yang juga YAB Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat 10 Oktober 2014, di samping cuma membandingkannya dengan pembentangan yang lalu. Saya akan hanya menyentuh persoalan asas dan prinsip yang bersifat makro sahaja pada saat ini, di mana perincian lanjut sedang hangat diperbahaskan oleh berbagai pihak sebaik sahaja pembentangan itu berakhir.

2. Respon awal saya ialah, kita sebenarnya agak hairan apabila tiada elemen-elemen baru yang mengejutkan dalam bajet ini yang mampu melonjakkan Malaysia untuk mencapai suatu tahap ekonomi yang lebih tinggi, mampan dan berdaya tahan terutama ke arah mencapai wawasan kerajaan dalam tahun 2020.

3. Umumnya, kita dapati bahawa Bajet 2015 masih gagal menjawab masalah-masalah utama yang menghantui ekonomi Malaysia, iaitu :

a. Struktur asas ekonomi Malaysia yang tidak kukuh.
b. Kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
c. Daya saing ekonomi Malaysia.
d. Kemampanan ekonomi Malaysia.

4. Saya berpandangan bahawa kerajaan masih tidak jelas akan halatuju dan ke arah mana ekonomi Malaysia hendak dibawa. Selagi mana kerajaan gagal untuk menjawab dan bertindak secara konkrit kepada semua persoalan-persoalan di atas, maka maklamat negara berprestasi tinggi atau apa saja sasaran yang diletakkan oleh kerajaan akan hanya menjadi retorik politik. Ianya sekadar cantik pada angka dan statistiknya, tetapi tidak memberi makna yang sebenar kepada rakyat marhain dalam negara kita ini.

5. Penekanan secara tidak bersepadu dalam pendekatan ekonomi hanya akan melemaskan lagi rakyat dalam suasana tekanan sara hidup yang sudah cukup membebankan. Pendekatan fiskal melalui pengurangan subsidi dan pengenalan GST  (di mana kami menolak pelaksanaan GST ini) hanya akan terus meningkatkan lagi inflasi dan sara hidup rakyat. Sepatutnya tindakan kerajaan perlu lebih bersepadu dengan juga mengambil kira dasar kewangan, yang akhirnya akan meningkatkan permintaan dan seterusnya meningkat keluaran ekonomi Malaysia.

6. Struktur ekonomi sebuah negara maju sepatutnya juga menekankan sumbangan sektor perkhidmatan yang substantif iaitu sekurang-kurang 70% dari KDNK negara. Namun sasaran kerajaan yang hanya meletakkan 60% sumbangan sektor perkhidmatan dalam tahun 2020 membuktikan kerajaan tidak menekankan atau bersedia ke arah struktur ekonomi yang betul untuk Malaysia.

7. Bajet juga telah gagal untuk memperincikan langkah-langkah ke arah meningkatkan produktiviti negara bagi mengatasi kadar pertumbuhan produkitiviti yang semakin merosot. Malah kadar pertumbuhan produktiviti Malaysia adalah lebih rendah dari kebanyakan jiran-jiran negara ASEAN yang lain. Struktur ekonomi yang mampan dan berdaya saing, sepatutnya mengambil kira elemen-elemen penting pertumbuhan ekonomi seperti input buruh, input modal dan faktor produktiviti keseluruhannya.

8. Oleh yang demikian, langkah kerajaan yang terlalu bergantung kepada input modal melalui projek infrastruktur dengan memperuntukan jumlah yang besar iaitu lebih RM48 billion bagi mengerakkan ekonomi hanya akan memberi kesan yang tidak seimbang dan tidak mampan. Sepatutnya penekanan juga harus diberikan kepada meningkatkan total produktiviti kerana ianya akan menghasilkan peningkatkan produktiviti dan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing untuk bergerak ke hadapan.

9. Bajet juga dilihat tidak konsisten dalam pelaksanaannya. Dalam satu masa kerajaan bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan subsidi, namun dalam masa yang lain menambahkan pula nilai BR1M. Tidakkah ini juga akan menghasilkan kesan yang sama seakan inflasi, iaitu mengherot keseimbangan ekonomi negara, dan yang lebih teruk, akan juga mengurangkan produktiviti, menjejaskan daya saing dan meningkatkan lagi inflasi.

10. Berdasarkan corak perbelanjaan kerajaan BN sepanjang tahun-tahun yang lalu, kadar defisit negara dijangka akan terus berada pada tahap kronik. Kegagalan untuk menurunkan kadar defisit ini juga sangat mengejutkan kerana kerajaan sepatutnya sudah dapat menjimatkan RM1.4b pada tahun 2014 apabila memotong subsidi minyak sebanyak 20 sen walaupun harga minyak dunia mengalami penurunan. Kita masih belum melihat keinginan jitu oleh kerajaan BN untuk membuat penjimatan perbelanjaan, sebaliknya kerajaan BN memilih untuk terus memotong subsidi daripada rakyat yang sudah memang lemas dalam kos hidup yang semakin meningkat. Perbelanjaan berlebihan dalam majlis-majlis kerajaan dan pembaziran kos melibatkan delegasi ke luar negara dengan disertai bilangan kakitangan yang keterlaluan adalah antara perbelanjaan yang wajar dikawal. Cukuplah kita sama -sama meneliti Laporan Ketua Audit Negara yang saban tahun memperincikan ketirisan dan pembelanjaan boros ini.

11. Secara keseluruhannya semua faktor-faktor ini dilihat masih gagal untuk diselesaikan oleh kerajaan. Ini secara jelas dapat dibuktikan dengan pengaliran keluar berterusan modal asing dan pelaburan domestik. Malah sikap hipokrit kerajaan BN dalam menangani masalah ketirisan sumber, penyelewengan dan rasuah, hanya akan memburukkan lagi kenyakinan pasaran kepada ekonomi Malaysia dan seterusnya memberi kesan negatif kepada tahap kualiti hidup rakyat seluruhnya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

No comments:

Post a Comment