Sinar Harian
22 Februari 2017
KOTA BHARU - Seorang pesara polis cedera parah ditetak di kepala
gara-gara didakwa berkomplot dengan bomoh membakar kertas nombor ekor
yang menang di tempat kedua.
Mangsa yang berusia 61 tahun diserang sekumpulan empat lelaki di pagar
rumahnya ketika mahu keluar menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran
pada jam 6 pagi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, kejadian
berlaku di Kampung Serendah Chetok, Pasir Mas, pada 20 Januari lalu,
bagaimanapun laporan polis hanya dibuat oleh mangsa baru-baru ini sebaik
sahaja tahap kesihatannya stabil.
“Berdasarkan keterangan mangsa, beberapa tahun lalu, mangsa yang ketika
itu bertugas di negara jiran pernah mengajak suspek berjumpa dengan
seorang bomoh dari Indonesia untuk mendapatkan ramalan nombor ekor.
“Suspek yang mengikut mangsa berjumpa dengan bomoh, kemudian membeli
nombor seperti yang diramalkan bomoh terbabit serta berjaya menang
hadiah di tempat kedua,” katanya.
Beliau berkata, belum sempat suspek menebus hadiah tersebut, malangnya
tiket loteri yang berada bersama suspek secara tiba-tiba hangus
terbakar.
“Suspek yang terkejut dengan kejadian itu kemudian menuduh mangsa yang
melakukan perkara itu (membakar tiket loteri) terbabit dengan bantuan
bomoh yang pernah mereka jumpa.
“Suspek menyimpan dendam sehingga ke saat ini dan akhirnya melunaskan
dendam itu dengan menetak mangsa sehingga mendapat kecederaan parah pada
bahagian kepala, bagaimanapun dua suspek sudah berjaya ditangkap,”
katanya.
No comments:
Post a Comment