Adun Sekinchan menyindir pemimpin BN susulan janji
kerajaan pusat membina Hospital Tanjung Karang masih belum tertunai,
menyebabkan penduduk terpaksa ke Hospital Selayang atau Sungai Buloh.
SHAH
ALAM: Adun DAP menyindir Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar hari
ini kerana gagal menunaikan janji untuk membina Hospital Tanjong Karang
di kawasan Parlimen sendiri.
Adun Sekinchan Ng Suee Lim membuat sindiran itu apabila proses
pembinaan hospital tersebut baru dimulakan selepas 16 tahun berjanji.
Ng mendakwa lebih menyedihkan apabila ada penduduk Tanjong Karang
meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital di kawasan lain kerana
mengambil masa yang lama untuk menerima rawatan.
“Saya selalu melawat majlis pengebumian dan waris mangsa mengeluh
ramai orang Tanjung Karang mati tengah jalan kerana hospital jauh sama
ada di Selayang atau Sungai Buloh,” katanya ketika membahaskan titah
ucapan Sultan Selangor di persidangan DUN Selangor.
“BN janji nak bina hospital masa anak kawan saya umur 10 tahun,
sekarang dia 26 tahun, dah berkahwin dengan 3 anak, baru sekarang nak
bersihkan rumput,” katanya.
Berang dengan sindiran itu, Datuk Sulaiman Abdul Razak (Permatang-BN)
bangkit mencelah dengan mendakwa kerajaan Selangor juga gagal
mengotakan janji untuk menurunkan cukai pintu sebanyak 20%.
“Ada yang janji nak turunkan cukai pintu 20% tapi tidak turun, nak turun cukai komersial 10% pun tidak turun juga.
“Jangan temberang, kerana YB (Yang Berhormat) pun sama juga,” katanya ketika bangkit mencelah perbahasan Ng.
Ketika bertikam lidah itu, Ng menyarankan kerajaan pusat supaya hanya
berjanji apabila betul-betul bersedia membuat projek pembangunan,
bukannya menabur janji yang akhirnya menyusahkan rakyat.
“Tak perlu sampai 16 tahun, setahun dua sudah cukup untuk berjanji. Ini berkokok riuh sekampung tapi telurnya tiada, memalukan.
“Saya sebut perkara ini bukan untuk kredit tapi saya mahu pantau
projek yang dijanjikan BN supaya dilaksanakan untuk kebaikan semua
rakyat,” katanya.
Tahun lalu, kerajaan BN berjanji akan meneruskan pembinaan Hospital
Tanjong Karang bagi memudahkan penduduk mendapat rawatan terbaik.
Noh berkata kelewatan pembinaan hospital berharga RM269 juta itu
disebabkan masalah teknikal antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan
kontraktor.
“Pembinaan Hospital Tanjong Karang tetap akan dilaksanakan seperti
dijanjikan dan surat tawaran sudah diberikan JKR kepada kontraktor,”
katanya.
No comments:
Post a Comment