Kerajaan negeri Sarawak di bawah Ketua Menterinya yang baharu, Datuk
Amar Abang Johari Tun Openg kekal dengan pendirian menolak pelaksanaan
undang-undang hudud di negeri itu.
"Saya mahu jelaskan bahawa hudud tidak terpakai di Sarawak dan saya
berkongsi pandangan yang sama dengan Allahyarham Tok Nan (bekas Ketua
Menteri Tan Sri Adenan Satem).
"Walaupun rang undang-undang ini (berkaitan) syariah dan bukan hudud,
kami luahkan kebimbangan kami kerana bagi saya penalti rang
undang-undang ini bersifat diskriminasi antara orang Islam dan bukan
Islam berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau yang ditemui pemberita semasa melawat Menara Sarawak Energy
hari ini diminta mengulas mengenai rang undang-undang bagi meminda Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Ditanya sama ada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu
membuat undian berhubung cadangan pindaan itu, Abang Johari berkata
perkara tersebut bergantung kepada hasil pertemuan antara perdana
menteri dan pemimpin parti komponen BN baru-baru ini.
Katanya beliau hanya menghadiri mesyuarat pertama dan berada di China
semasa mesyuarat kedua yang dihadiri oleh Timbalanya Datuk Amar Douglas
Uggah Embas.
Rang undang-undang persendirian itu diusulkan oleh Presiden PAS Datuk
Seri Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat pada 24 Nov lalu,
namun baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang bagi
memperkasakan kuasa mahkamah syariah itu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment