Saintis politik, Marzuki Mohamad berkata, Najib
mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk mengubah keadaan, tetapi
beliau mungkin kesuntukan masa.
PETALING
JAYA: Seorang saintis politik memberi amaran Barisan Nasional (BN)
mungkin tidak dapat mengekalkan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14
(PRU14) kerana masih kekurangan jumlah kerusi selamat yang diperlukan
untuk mendapat majoriti mudah.
Prof Marzuki Mohamad dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
berkata, BN akan kekal sebagai parti pemerintah jika mereka memenangi
100 daripada 222 kerusi Parlimen.
“Melainkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dapat menjadikan
baki kerusi itu sebagai kerusi selamat untuk BN, mengadakan pilihan raya
umum sekarang agak berisiko untuk beliau,” katanya dalam analisis yang
dipetik New Mandala hari ini.
Marzuki berkata, secara realistiknya, Umno hanya berpeluang memenangi
57 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, sedangkan 70 daripada
kerusi itu adalah kawasan bermajoriti Melayu, di mana 70% daripada
pengundi ialah orang Melayu.
Beliau berkata, 8 daripada kerusi Parlimen itu terletak di Kedah yang
merupakan kubu kuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir
Mohamad, manakala sekurang-kurangnya 5 kerusi lain mempunyai pengaruh
kuat PAS.
Katanya, sokongan pengundi bukan Melayu untuk BN sangat rendah sejak
PRU13, di mana tinjauan terbaru menunjukkan tiada peningkatan sokongan
bukan Melayu untuk kerajaan.
Marzuki berkata, terdapat 47 kerusi Parlimen di kawasan bermajoriti
Melayu kecil di Semenanjung, di mana lebih 30% ialah pengundi bukan
Melayu.
“Pengaruh PAS di kawasan ini sangat kecil dan mungkin tidak memberi banyak kesan kepada perpecahan undi Melayu.
“Di kawasan inilah PH cuba tembusi dan memberi cabaran serius kepada
BN. Sesetengah kerusi Parlimen di kawasan ini sudah berada di tangan
PH.”
Katanya, terdapat 48 kawasan bermajoriti bukan Melayu di Semenanjung yang boleh dianggap kerusi selamat buat pembangkang.
Beliau berkata, BN hanya mempunyai baki 57 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak yang merupakan “deposit tetap” parti itu.
Bagaimanapun, katanya, 9 daripada kerusi itu kini dipegang
pembangkang, dengan 5 lagi terletak di pantai timur Sabah yang cuba
dikuasai Parti Warisan Sabah.
“Kerusi ini bukan lagi kerusi selamat untuk BN. Jadi, daripada 57
kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, hanya 43 kerusi dianggap selamat
untuk BN.”
Marzuki berkata, kemenangan BN pada PRU lalu disebabkan kemampuannya membangunkan ekonomi dan mengekalkan kestabilan politik.
Bagaimanapun, katanya, “keadaan ekonomi sekarang tidak kelihatan
baik” susulan kenaikan kos sara hidup, pemansuhan subsidi untuk barangan
penting, kadar inflasi disebabkan ringgit yang lemah serta pelaksanaan
cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6%.
Beliau menjangkakan Bajet 2018 yang bakal dibentangkan di Parlimen
akhir bulan ini tidak dapat memberi banyak ruang kepada Najib untuk
mencipta faktor “feel good” kerana “dana kerajaan semakin berkurangan,
tanggungan besar dan masih perlu mengurangkan defisit bajet”.
Ini di samping skandal 1MDB yang menurut Marzuki, memberi kesan buruk kepada populariti Najib.
“Berdasarkan situasi ini, Najib mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk mengubah keadaan.
“Tetapi, masa mungkin tidak menyebelahinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment