Friday, October 20, 2017

Rakyat bimbang lambakan warga asing, pelarian

Sinar
Warga asing
(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Rakyat negara ini prihatin dan bimbang dengan kebanjiran warga asing dan pelarian di negara ini, terutamanya dari segi keselamatan.
Luahan itu disalurkan di laman web https://bajet2018.najibrazak.com supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat melakukan sesuatu mengenainya.

Satu cadangan oleh Su Teck yang mendapat paling banyak 'like' mencadangkan warga asing  tidak dibenarkan membuka perniagaan di negara ini.
"Kebelakangan ini, kedai runcit atau telefon milik warga asing banyak dibuka di kawasan yang menjadi tumpuan warga tersebut secara tidak langsung menggugat keselamatan penduduk sekitar.

"Selain itu, perniagaan warga ini juga berpotensi menjejaskan perniagaan warga tempatan serta barangan yang dijual mereka ini tidak dipastikan tahap keselamatannya serta terdapat keraguan permohonan lesen perniagaan mereka," tulisnya.

Dalam pada itu, cadangan daripada S Muniandy pula meminta kerajaan melakukan kawalan standard terhadap kemasukan pekerja asing.

"Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri mengambil langkah kawalan kemasukan pekerja asing di mana menetapkan satu standard.
"Kerajaan perlu memastikan pengambilan warga asing dari sebuah negara perlu melalui tapisan keselamatan negara asal dan pemeriksaan yang ketat di Malaysia," cadangnya.

Sementara itu, terdapat cadangan daripada Amar yang mahu kerajaan menghadkan pergerakan pelarian khususnya di Malaysia.
"Saya menggesa kerajaan agar mengetatkan polisi terhadap pergerakan pelarian di sini kerana khuatir mereka terlalu bebas melakukan apa yang diingini di Malaysia," katanya.

Di samping itu, cadangan daripada Ho Ten Fook meminta supaya kenaikan gaji penjawat awam dikaji semula atas sebab keselamatan dan ketelusan.
"Perlu dikaji semula dengan kenaikan gaji setara negara berpendapatan tinggi dengan mutu dan kualiti perkhidmatan bagi mengelakkan kes rasuah berleluasa," cadangnya.
Pembentangan Bajet 2018 dijadualkan pada 27 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment