Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata tidak mungkin di kalangan sesuatu kaum itu tidak ada 'penyangak'.
ALOR SETAR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan beliau
menghina keseluruhan keturunan Bugis semasa perhimpunan Pakatan Harapan
(PH) di Petaling Jaya, Sabtu lalu.
Sebaliknya, bekas perdana menteri yang kini mempengerusikan gabungan
pembangkang itu berkata terdapat juga keturunan Bugis yang baik.
“Saya tak hina orang Bugis. Orang Bugis ada yang baik. Tapi penyangak pun ada juga,” katanya.
“Salah ke? Takkan orang Bugis nak kata kalangan orang Bugis tak ada
penyangak. Ada,” katanya semasa berucap di program “Rapat Umum
Selamatkan Malaysia” di Dataran Harapan Baru di sini, malam tadi.
Dr Mahathir ketika berucap dalam perhimpunan “anti-kleptokrasi” pada
14 Oktober mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
dengan menyebut sebagai keturunan “lanun Bugis”.
Kenyataan itu mengundang protes Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis
Melayu Malaysia (PPRBMM) di hadapan Yayasan Kepimpinan Perdana di
Putrajaya.
Dr Mahathir berkata mereka yang menganjurkan protes itu adalah “bodoh”.
“Bodohnya, orang hari itu hari Deepavali, pejabat saya tutup. Tapi dia dah rancang (untuk berhimpun).
“Mereka sudah sewa bas, jadi pergi jugalah dan pejabat kosong. Inilah
orang yang kononnya mendakwa saya menghina orang Bugis,” katanya.
Dr Mahathir turut mempersoalkan penahanan Presiden Warisan Datuk Seri
Shafie Apdal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
berhubung penyelewengan RM1.5 bilion di bawah Kementerian Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah.
“Shafie Apdal diselidik, dicari macam-macam, kononnya benda itu berlaku semasa dia jadi menteri.
“Kenapa masa itu (semasa Shafie dalam Kabinet) tak diselidik, tapi
sekarang baru nak selidik? Kerana dia menjadi pemimpin Warisan yang
menentang Najib,” katanya. FMT
No comments:
Post a Comment