Monday, December 25, 2017

Skandal Felda: PERKASA cadang akta ala-ISA

Malaysiakini 25/12/17 

Isu seperti kehilangan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur berbilion ringgit boleh mengancam keselamatan negara, kumpulan pendesak Melayu PERKASA.

Oleh demikian, presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata kerajaan perlu mengambil langkah serius bagi mengelakkan isu itu berulang, termasuk mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah rasuah.
Sehubungan itu, Ibrahim mengulangi gesaan PERKASA agar kerajaan memperkenalkan akta baharu bagi mengawal kepentingan ekonomi negara serta mengawal rasuah dan salah guna kuasa.

"Isu penyamunan seperti Tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang bernilai ratusan juta boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

“Bila rakyat marah, berbagai perkara dan angkara boleh berlaku yang akhirnya mengancam keamanan dan keselamatan negara.
“Sebab itu sebelum ini PERKASA pernah mencadang dan meluluskan usul agar diwujudkan Akta Sabotaj Ekonomi sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan.

"Melalui Akta Sabotaj Ekonomi Negara, mereka-mereka yang disyaki terlibat mensabotaj ekonomi negara boleh ditahan serta-merta selama 30 hari tanpa mendapat perintah mahkamah," kata Ibrahim dalam satu kenyataan.

Terdahulu media tempatan melaporkan Felda berisiko kehilangan pemilikan tanah bernilai RM270 juta di Jalan Semarak ekoran transaksi pada 2015 yang didakwa "meragukan".
Penilai bebas menganggarkan harga pasaran bagi tanah tersebut kini mencecah RM1 bilion.

Tanah itu kini sedang dibangunkan sebagai sebahagian projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) melibatkan tujuh menara - termasuk sebuah menara Felda, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan tempat pendaratan helikopter.

Ibrahim berkata akta baru itu perlu kerana undang-undang sedia ada sekarang didapati tidak menghukum pesalah rasuah dengan berat hingga menyebabkan kesalahan itu mungkin berulang.

“Ada yang berkata apa salah masuk penjara lima hingga 10 tahun, bila keluar ada ratusan juta.
“Maka hukuman rasuah dan penyalahgunaan kuasa mesti ada mandatori rotan, semua harta dirampas dan minimum penjara 10 tahun,” katanya.
Ibrahim berkata, melalui akta sabotaj ekonomi negara, mereka yang disyaki terlibat boleh ditahan serta-merta selama 30 hari tanpa mendapat perintah mahkamah.

“Penyiasatan lebih cepat dan berkesan jika yang disyaki disiasat sewaktu dalam tahanan sama seperti SOP (standard operasi piawai) akta ISA dulu.
“Cara sekarang melalui siasatan penubuhan jawatankuasa atau bawa yang disyaki ke mahkamah untuk dapat perintah reman beberapa hari dan kemudian yang disyaki boleh dijamin, apa yang akan berlaku mungkin bukti dimusnahkan, saksi pula kemungkinan dibeli,” katanya.

Menurut Ibrahim, mengikut undang-undang sekarang juga, proses melalui mahkamah cukup panjang dan memakan banyak belanja wang negara.
“Tidak mustahil, selepas siasatan dan kumpul bukti bertahun, yang disyaki mati dulu sebelum didakwa atau selesai pendakwaan dan perbicaraan.
“Kemudian jika didapati bersalah, hukuman pula dua hingga tiga tahun penjara sahaja,” kata Ibrahim

2 comments:

  1. ingin wujudkan impian anda , raih kesempatan dan menangkan ratusan juta rupiah hanya di ionqq,silakan invite
    pin bb#58ab14f5

    ReplyDelete
  2. ingin wujudkan impian anda , raih kesempatan dan menangkan ratusan juta rupiah hanya di ionqq,silakan invite
    pin bb#58ab14f5

    ReplyDelete