Saturday, May 26, 2018

Mungkin 'silap komunikasi", peguam gesa Jamal ke balai polis

 
   
Peguam kepada ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos menggesa anak guamnya hadir di balai polis dan membantu menyempurnakan proses ikat jamin.

Dalam satu kenyataan, peguam Jamal, Mohd Imran Thamrin berkata kehilangan Jamal dari wad hospitalnya semalam tidak disengajakan dan mungkin disebabkan oleh sedikit 'silap komunikasi' berhubung prosedur pertuduhan luar kamar mahkamah.
"Saya percaya mungkin berlaku sedikit "miscommunication" dan anak guam kami beranggapan proses ikat jamin tersebut telah sempurna.

"Ini adalah pengalaman pertama beliau dalam menghadapi situasi atau prosedur pertuduhan luar kamar mahkamah," kata Imran yang juga ADUN Sungai Panjang.
Imran juga mengesahkan bahawa pemimpin gerakan Baju Merah itu telah hilang dari wad hospitalnya kira-kira jam 3.30 petang semalam sebelum proses ikat jamin selesai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata semalam bahawa Jamal didakwa di hadapan seorang majistret di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri tetapi hilang semasa proses ikat jamin, dan polis sedang mengesannya.

Sementara itu, Imran mendakwa anak guamnya tidak mempunyai niat untuk melakukan jenayah lain.
"Saya juga percaya, ini adalah kes kekhilafan tanpa sebarang niat melakukan apa-apa jenayah termasuk niat untuk lari dari tahanan.
"Saya khuatir beliau dalam keadaan trauma atau tekanan kerana situasi dan keadaan ini adalah sesuatu yang baru untuk beliau," tambah Imran.

Beliau menggesa orang ramai yang ada maklumat di mana Jamal berada tampil membantu pihak polis.
Katanya, beliau bersama rakan-rakan telah dibawa ke IPD Ampang pada kira-kira jam 5 petang untuk membantu pihak polis mengesan Jamal dan dibenarkan pulang hampir 10 jam kemudian.

Jamal semalam minta dibicarakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan gangguan awam.
Sekiranya didapati bersalah, Jamal, 48, boleh didenda RM400.

Mahkamah membenarkan ketua Umno itu diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 8 Jun untuk sebutan di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Dalam kejadian 5 Oktober tahun lalu itu, Jamal dikatakan mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment