Monday, July 23, 2018

Tertuduh dakwa pegawai penjara ugut mengaku bunuh Kevin Morais

Bernama  |  
   
Tertuduh keenam dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa dia dan lima lagi tertuduh diugut supaya mengaku telah membunuh Kevin Morais.

S. Nimalan, 25, mendakwa ugutan itu dibuat oleh beberapa orang pegawai penjara pada 10 April lepas di Penjara Sungai Buloh di Kuala Lumpur, sebaik dia pulang menghadiri perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Pada 10 April, saya balik dari perbicaraan dan telah membuat pemeriksaan, tiga pegawai penjara menyuruh saya membuang air besar. Semasa di tempat membuang air besar, seorang daripada mereka datang berjumpa saya dan memberitahu dia telah berjumpa dengan S. Ravi Chandaran (tertuduh ketujuh) beberapa kali untuk menyuruh Ravi Chandaran supaya mengaku dalam kes ini.

“Pegawai itu memberitahu dia telah berbincang mengenai wang yang akan kami semua perolehi sekiranya kami semua mengaku dalam kes ini,” katanya ketika pemeriksaan utama Peguam V. Rajehgopal pada prosiding membela diri hari ke-13, hari ini.

Saksi pembelaan kelima itu berkata dia kemudian telah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 17 April selepas disuruh oleh Ravi Chandaran yang merupakan bapa saudaranya.

Kepada soalan Rajehgopal sama ada tertuduh terlibat dalam kes pembunuhan itu, Nimalan menjawab: “Saya tidak melakukan kesalahan ini, Yang Arif,” katanya.

R. Dinishwaran, A. K Thinesh Kumar, M. Vishwanath, Nimalan, Ravi Chandaran dan doktor tentera Kolonel Dr R. Kunaseegaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, lima tertuduh, Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan dan Ravi Chandaran, 47 diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N. Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.
- Bernama

No comments:

Post a Comment