Peguam
Umno Tan Sri Muhammad Shafee dan Putrajaya akan menghadapi pesepsi
negatif jika dia dilantik sebagai peguam negara, kata sekumpulan peguam.
Penasihat dan pengasas kepada Peguam untuk Kebebasan, Eric Paulsen
(gambar) berkata, Putrajaya tidak sepatutnya mempertimbangkan langsung
Shafee sebagai calon untuk jawatan itu kerana beliau membawa bebanan
tersendiri.
"Peguam negara adalah satu jawatan yang tidak boleh dipertikaikan dan
calon-calon untuk jawatan ini perlu dilihat bebas dan mengatasi kuasa
politik," katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, jika Shafee dilantik atau dipertimbangkan untuk jawatan
itu, maka keseluruhan Jabatan Peguam Negara akan terjejas daripada
kedudukan sekarang kepada lebih buruk lagi kerana beliau (Shafee)
dikenali sebagai peguam Umno.
Katanya, Shafee telah menjadi penasihat perdana menteri sebelum ini dan
perdana menteri sekarang serta Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau juga berkata, Shafee juga dikenali kerana mengambil sikap menentang pembangkang khasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Apatah lagi ia sangat tidak sesuai setelah beliau terlibat dalam kes
sodomi Anwar. Persepsi umum adalah jika beliau berjaya menang kes bagi
pihak pendakwa, hadiah untuknya adalah jawatan Peguam Negara
seterusnya."
Pada 9 Januari, 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar
atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26,
di Desa Damansara unit kondominium di Bukit Damansara di sini, antara
jam 3.10 dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Shafee bakal mengetuai pasukan pendakwaan apabila Mahkamah Rayuan mendengar rayuan pendakwa raya pada 12 Februari ini.
Paulsen berkata demikian ketika mengulas Shafee yang mendedahkan
keinginannya untuk menjadi penasihat undang-undang negara dan pendakwa
raya.
Peguam kanan berusia 61 tahun itu berkata beliau sedia mengambil alih
jawatan itu untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan tidak
memikirkan soal membuat wang.
"Saya akan menerima apa-apa jawatan untuk berkhidmat. Jika saya layak
untuk jawatan itu dan kerajaan benar-benar inginkan saya, saya akan
menerimanya," kata Shafee di pejabatnya dekat Bukit Tunku, Kuala Lumpur
pada hari Khamis.
Paulsen berkata pengakuan Shafee mengesahkan apa yang telah menjadi
rahsia umum sejak sekian lama di kalangan pengamal undang-undang.
Beliau berkata, tidak ada keraguan Shafee memahami undang-undang dan
mempunyai keupayaan yang cemerlang tetapi soalannya adalah samada beliau
mendapat keyakinan umum sebagai peguam negara atau tidak.
"Jawatan Peguam Negara tidak boleh tercemar," katanya.
Paulsen berkata, ia telah berlaku kepada pelantikan Tun Zaki Azmi,
bekas Peguam Umno, yang telah dilantik terus sebagai Hakim Mahkamah
Persekutuan pada tahun 2007 dan kemudian Ketua Hakim Negara.
"Beliau adalah seorang peguam kanan tetapi tidak sehebat Datuk Seri
Gopal Sri Ram (yang dilantik terus ke Mahkamah Rayuan) dengan
ensiklopedia pengetahuan undang-undangnya," katanya.
Beliau berkata, semua mata tertumpu setiap kali ada kes berkaitan
Putrajaya dan Umno seperti krisis Perlembagaan Perak sama ada Zaki
campur tangan dalam memanipulasi penghakimannya.
Shafee berkata, khabar angin beliau menjadi Peguam Negara telah wujud
sejak 15 ke 20 tahun lalu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana
menteri.
Shafee, yang dilantik secara ad hoc sebagai Timbalan Pendakwa Raya
untuk memimpin pasukan pendakwaan untuk membatalkan pembebasan Anwar
pada tahun 2012, juga perlu dilihat sebagai tugas untuk perkhidmatan
awam.
Beliau berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah tidak
mengambil kes ini kerana tuduhan terhadapnya, seperti manipulasi
keterangan dan bekas pendakwa raya (Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden)
pula telah bersara.
Lawyers for Liberty dua minggu lalu mempersoalkan peranan Shafee
sebagai pendakwa selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya selepas
didenda RM5, 000 oleh Lembaga Tatertib Peguambela dan Peguamcara
kerana melanggar peraturan publisiti di bawah Akta Profesion Guaman.
Paulsen kemudian berkata ini merupakan satu lagi sebab mengapa Gani
perlu mengambil balik lesen yang diberikan kepada Shafee untuk
mengendalikan kes Anwar. – 31 Januari 2014
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment