• Sedih tinggal dalam rumah kotor  
  • Penduduk Kampung Mempateh menunjukkan keadaan dalam rumah Basariah dipenuhi tahi ayam, sampah sarap dan longgokan baju.

LANCHANG – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mempateh merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) segera memindahkan seorang warga emas yang tinggal sebatang kara kerana keadaan wanita terbabit sangat menyedihkan tinggal dalam rumah yang sangat kotor dipenuhi sampah dan tahi ayam.

Pengerusi JKKK Mempateh Md Nor Shahar Baki berkata, dua tahun lalu JKKK mencadangkan supaya JKM memindahkan warga emas terbabit Basariah Mohamad 60, ke mana-mana pusat penjagaan orang tua kerana keadaan sangat daif dengan persekitaran yang sangat kotor.

Menurutnya, sebelum ini JKM memaklumkan faktor umur yang menyebabkan permohonan untuk menghantar Basariah tidak berjaya, tetapi April lalu warga emas terbabit genap berumur 60 tahun dan layak untuk dipindahkan ke pusat penjagaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak sanggup lagi melihat keadaan Basariah yang tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai lagi waris yang boleh menjaganya.

“Saya dan wakil rakyat juga sudah beberapa kali membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat JKKK dan tindakan daerah, tetapi akibat faktor umur wanita ini masih hidup dalam keadaan daif.

“Sebab itu kali ini kami merayu supaya JKM datang sendiri menjenguk wanita ini yang tinggal seorang diri dalam keadaan rumah yang sangat kotor,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk, Mustafa Alias, 72, berkata, dia tidak sanggup lagi melihat wanita terbabit tinggal seorang diri kerana Basariah tidak pandai menjaga diri.

Menurutnya, Basariah perlu penjaga yang dapat menguruskan kehidupannya kerana dia juga mempunyai masalah kesihatan dan mungkin ada gangguan mental.

“Kami harap JKM segera menghantar Basariah ke pusat penjagaan orang tua kerana dalam keadaan sekarang wanita ini langsung tidak terurus,” katanya.

Mustafa berkata, setakat ini makan dan minum Basariah dijaga pemilik kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Terua berhampiran menerusi bantuan RM300 sebulan disalurkan JKM terus kepada kantin sekolah terbabit.

“Dia mandi dan buang air di Masjid Mempateh, tetapi tinggal dalam rumah yang sangat kotor dipenuhi tahi ayam dan longgokan baju yang dikutip di masjid.

“Rumah yang didiami sekarang dihadiahkan wakil rakyat sekitar 2006, tetapi tiada bekalan elektrik. Saya harap perkara ini tidak jadi isu kerana apa yang penting kita dapat selamatkan wanita ini dengan pindahkannya ke tempat lebih selesa,” katanya.