Suspek cedera di kepala selepas dipukul dengan botol kicap dalam cubaan samun pagi kelmarin.
KOTA BHARU - Cubaan seorang lelaki menyamun sebuah kedai runcit di
Jalan Panchor, Pengkalan Chepa di sini gagal selepas dia bukan sahaja
tidak dapat melarikan barangan dalam kedai, malah dia turut cedera
selepas kepalanya dipukul dengan botol sos oleh pekerja kedai terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi kelmarin, suspek yang pada
mulanya datang ke kedai berkenaan dengan menunggang motosikal jenis
Honda EX5, masuk ke kawasan belakang kaunter dengan membawa pistol
mainan dan mengacukannya ke arah salah seorang pekerja kedai.
Suspek mengarahkan pekerja kedai menyerahkan telefon bimbit dan wang
tunai, namun mangsa yang dalam ketakutan terus menjerit menyebabkan
salah seorang pekerja di situ cuba menyelamatkan mangsa yang menyebabkan
berlaku pergelutan.
Dalam pergelutan itu, suspek yang mengalami pendarahan di kepala akibat
dipukul dengan botol sos terus melarikan diri dengan menunggang
motosikal sama, manakala seorang pekerja kedai turut cedera.
Bertindak atas maklumat, pegawai dan sepasukan anggota bahagian
siasatan jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) membuat serbuan
di Kampung Pulau Gajah Pengkalan Chepa dan menemui suspek dalam keadaan
berdarah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata,
seorang lagi suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut berkaitan kes
itu, namun mengikut pengakuan suspek utama, rakannya itu tidak terlibat
dalam kes berkenaan.
“Hasil ujian air kencing dilakukan terhadap kedua-duanya mendapati
mereka positif amphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun
Keseksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment