Tuesday, January 5, 2016

Dua lelaki maut kereta terperosok bawah bas

Kemalangan
KUANTAN - Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki bertembung sebuah bas ekspres dalam kemalangan di Kilometer 40, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Cherating, awal pagi semalam.
Kenderaan mereka dikatakan diseret sehingga 30 meter ketika bas berkenaan yang dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Mohamad Yusre Aiman Mazlan, 22, yang memandu kenderaan Nissan Sunny bersama rakannya, Abu Hazwan Abu Karim, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, kedua-dua mangsa masing-masing berasal dari dari Kota Bharu, Kelantan dan Sungai Ular, Kuantan.

“Siasatan awal mendapati, bas ekspres itu dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari Kota Bharu bersama 12 penumpang bertembung kereta mangsa selepas terbabas ke laluan bertentangan,” katanya sambil memberitahu pertembungan itu mengakibatkan kereta mangsa terperosok ke bawah bas dan kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan seterusnya sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing," katanya.

Jelasnya, polis telah ambil sampel urin pemandu bas berusia 43 tahun itu untuk ujian di Jabatan Kimia bagi mengesan kandungan sama ada pemandu terbabit memandu di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya.
Menurutnya, ketika kejadian keadaan cuaca baik dan jalan kering namun sedikit selekoh dan mangsa bersama pemandu bas ekspres terbabit disahkan mempunyai lesen memandu.
Katanya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, bomba menerima panggilan kira-kira jam 4.03 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, seramai 12 anggota bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa tersepit dan operasi tamat kira-kira jam 6.20 pagi.

“Bomba mengeluarkan dua mangsa lelaki yang berada di dalam kereta dan mereka meninggal di tempat kejadian,” katanya.

No comments:

Post a Comment