Monday, January 11, 2016

MIC: PM akan kaji pindaan halang penukaran agama unilateral

11/1/16

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada dasarnya telah bersetuju untuk mengkaji sama ada undang-undang sedia ada perlu dipinda untuk mengelakkan penukaran agama kanak-kanak yang dilakukan secara unilateral, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam.

"Saya timbulkan isu itu sekali lagi pada mesyuarat Kabinet yang terakhir dan Perdana Menteri meminta tiga menteri berjumpa dengan Peguam Negara dan meneliti perkara itu.

"Beliau juga pada prinsipnya bersetuju meneliti pindaan terhadap undang-undang sedia ada untuk mengelakkan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral," kata Subramaniam yang dipetik oleh The Star hari ini.
Menurut laporan Bernama, menteri itu berkata jawatankuasa berkenaan telah bertemu dengan Peguam Negara mengenai perkara tersebut.

Beliau dilaporkan berkata Najib mengarahkan jawatankuasa itu untuk mencari penyelesaian berhubung isu ini.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung penukaran agama tiga anak seorang guru tadika, M Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang memeluk agama Islam.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hal-hal berhubung penukaran dan sama ada seseorang itu beragama Islam adalah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Malaysiakini

1 comment: